UMNO terlepas peluang menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson untuk menonjolkan perubahan yang ia janjikan sebagai pembangkang kali pertama, kata penganalisis.
Keputusannya memulaukan pilihan raya kecil pada 13 Oktober itu menunjukkan kedudukannya yang sekarang lemah kerana menyerahkan kerusi itu tanpa melawan kepada bakal presiden PKR Anwar Ibrahim.
Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia, Azizuddin Sani berkata oleh sebab Anwar bertanding, Umno sepatutnya mengambil kesempatan di Port Dickson untuk menguji kekuatan bakal perdana menteri itu.
“Kebarangkalian untuk (Umno) kalah itu ada, kemenangan untuk PKR (di Port Dickson) itu tinggi, tapi (Umno) cepat mengalah. Takut imej Umno dan Barisan Nasional (selepas ini) makin sukar, sudahlah tidak bertanding PRK Seri Setia… sepatutnya tanding semua (PRK).
“Tidak bertanding di PRK Port Dickson menyebabkan Umno terlepas peluang untuk tunjukkan perubahan yang berlaku dalam parti itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Semalam, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein melahirkan keresahan yang sama terhadap keputusan Umno tidak meletakkan calon di Port Dickson. Beliau menyifatkannya keputusan “di luar kebiasaan parti” dan akan mempunyai kesan tersendiri pada masa akan datang.

Hishammuddin yang secara peribadi tidak setuju dengan keputusan itu mahu pimpinan Umno menunjukkan kepimpinan kepada ahli-ahli di Port Dickson tentang apa sepatutnya mereka buat pada hari pengundian pada 13 Oktober nanti.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mengumumkan pendirian Umno dan BN “memboikot” PRK Port Dickson, yang disifatkan sebagai diadakan secara paksa “untuk memenuhi cita-cita seseorang.”
PRK itu diadakan untuk menghantar Anwar ke Dewan Rakyat dalam pelan peralihan kuasa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Sementara itu, pensyarah sosio politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi melihat sikap Umno ini adakah kerana ia bersedia mahu berbaik dengan Anwar yang akan jadi perdana menteri.
Beliau menarik perhatian pada usaha Umno dan PAS untuk kekal relevan selepas Pakatan Harapan jadi kerajaan sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“PAS dan Umno ingin menjalinkan hubungan dengan PKR terutama Anwar yang dilihat agak lunak suaranya dengan Umno pasca (bekas perdana menteri) Najib Razak.
“Jadi PAS dan Umno memberi semacam petunjuk mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana komponen Pakatan Harapan, tapi tidak semestinya diterima Anwar dan PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awang Azman juga berpendapat Umno dan BN memulaukan Port Dickson kerana mereka tidak ada calon yang layak menandingi Anwar.
“Apa yang pasti mereka yang bertanding akan menerima pukulan besar dari Anwar. Beliau presiden PKR dan bakal perdana menteri, jadi untuk meletakkan calon yang biasa sahaja adalah sukar.
“Calon berkedudukan tinggi seperti (bekas menteri besar Negeri Sembilan) Mohamad Hasan juga tidak berani,” katanya.
Mohamad yang sebelum ini menyatakan sikap tidak sedia jadi calon kelmarin mengeluarkan kenyataan mencadangkan Umno dan BN tidak meletakkan calon di Port Dickson, tidak lama sebelum mesyuarat parti memutuskan perkara itu.
Pandangan sama juga disuarakan oleh beberapa pemimpin muda Umno seperti Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan senator Khairul Azwan Harun, yang melontarkan pandangan di media sosial selepas pengumuman Zahid itu.
Asyraf menulis di Instragram berkata beliau akur dengan keputusan parti dan sudah menyampaikan pendirian mewakili sayap Pemuda.
Khairul Azwan pula mengaku kecewa walaupun terpaksa bersetuju kerana setia kepada pemimpin.
Ramai tanya saya setuju atau tidak dgn keputusan parti boikot #PRKPortDickson. Jawapan saya jelas. Tidak setuju. UMNO atau BN sepatut bertanding beri pilihan alternatif kpd pengundi PD.
— Khairul Azwan Harun (@azwanbro) September 25, 2018
Minggu lalu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga meminta Umno bertanding dalam PRK tersebut

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center Mohd Azlan Zainal berpendapat, pembangkang kini berada dalam mood “bertahan” selepas tewas pilihan raya.
“Memilih boikot menunjukkan BN tidak yakin boleh menang dan mencerminkan kelemahan pembangkang secara keseluruhan. Kekalahan pada PRU lepas telah meletakkan Umno pada posisi yang defensif,” katanya.
Tindakan beberapa pemimpin kanan yang meninggalkan parti, di samping persepsi buruk yang sukar dikikis terhadap parti juga sebenarnya melemahkan Umno, katanya.
“Memahami Anwar sukar dikalahkan, pendirian boikot PRK hanyalah satu ‘political stunt’ kerana politik itu melibatkan pertimbangan peluang dan bersifat dinamik.
“Zahid cuba mengintai ruang ke hadapan dengan tindakan yang dilihat menguntungkan ketika dia sendiri menyedari bahawa Umno semakin rosak dan sukar diperbaiki,” tambahnya. – 26 September, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan