SEORANG pemimpin Orang Asli Temiar Gua Musang di Kelantan telah dipanggil ke mahkamah bulan depan berhubung sekatan yang didirikan oleh masyarakat itu.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli, Mustafa Along memberitahu The Malaysian Insight beliau dikehendaki hadir di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 8 Oktober bagi perbicaraan bagi permohonan syarikat ladang durian Musang King untuk merobohkan sekatan tersebut.
“Halangan masih berterusan, sekarang pihak syarikat durian Musang King telah memohon satu perintah mahkamah untuk menghalang saya dari masuk ke ‘blockade’ (sekatan) Kaleg,” kata Mustafa.
Pada hujung bulan lalu Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan melakukan operasi bersepadu meroboh tiga sekatan laluan balak yang dibina suku Temiar berkenaan.
Tiga sekatan itu ialah di Kampung Kaleg, Pos Tohoi di Kampung Cawas, Pos Bihai dan di Kampung Kuala Wok, Pos Pasik.
Operasi bersama itu dijalankan selepas kerajaan negeri dan Persekutuan gagal menyelesaikan perebutan tuntutan tanah antara suku Temiar di Gua Musang dan perniagaan agrikultur.
Penduduk Orang Asli bagaimanapun bertindak membina semula halangan baru beberapa hari kemudian sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri Kelantan yang enggan mengiktiraf tuntutan tanah adat mereka.
Menurut Mustafa, ketiga-tiga halangan di Cawas, Kaleg dan Keyeh juga dibina semula, walaupun terdapat cubaan daripada pihak syarikat untuk merobohkannya.
Pada Selasa minggu lalu, sekumpulan penduduk Orang Asli bertindak duduk di atas sekatan di Kaleg bagi mengelakkan pekerja pihak syarikat ladang Musang King merobohkan halangan mereka buat kali kelima.
“Sehingga hari ini masih tiada perbincangan atau wakil kerajaan negeri datang berjumpa kali,” kata Mustafa lagi. – 24 September, 2018.
Komen