Tak perlu anggap pengguna ganja sebagai penjenayah, kata peguam


Mohd Farhan Darwis

Putrajaya diminta mengubah sikap terhadap individu yang didakwa di mahkamah disebabkan mengguna, memiliki dan mengedar ganja yang juga dikenali sebagai kanabis. – Gambar AFP, 24 September, 2018.

PEGUAM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Putrajaya mengubah sikap ke atas pengguna ganja bagi mengelakkan lebih ramai individu ke tali gantung.

Mereka tidak mahu lebih ramai lagi individu menerima nasib seperti Muhammad Lukhman Mohamad, 29, yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana memiliki minyak ganja.

Peguam hak asasi Haijan Omar berkata, kes itu sepatutnya digugurkan untuk mengelakkan lebih ramai lagi individu seperti bapa muda tersebut ditindas akibat undang-undang tidak adil.

Beliau berkata banyak individu didakwa di mahkamah setiap hari disebabkan mengguna, memiliki dan mengedar ganja yang juga dikenali sebagai kanabis.

“Jumlah kes kanabis untuk kegunaan sendiri yang didaftarkan di mahkamah untuk pendakwaan adalah tinggi, berbanding untuk dadah jenis lain yang disenaraikan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Proses mahkamah akan lebih lancar sekiranya pengguna ganja ini tidak lagi dianggap sebagai penjenayah, kata peguam itu yang berpengalaman mengendalikan kes berkaitan.

“Mahkamah boleh fokus kepada kes pemilikan dan pengedaran dadah lebih berat yang jelas memusnahkan lebih banyak nyawa, berbanding kesan kanabis yang kecil ke atas manusia,” katanya.

Kaji potensi rawatan

Haijan berkata berbanding pengguna dadah lain, pengguna ganja juga menerima diskriminasi kerana bentuk hukuman yang dikenakan ke atas pesalahnya.

Peguam hak asasi Haijan Omar berkata kes pemilikan minyak ganja sepatutnya digugurkan untuk mengelakkan lebih ramai lagi ditindas akibat undang-undang tidak adil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

Katanya, tidak cukup dengan hukuman denda atau penjara, pesalah juga diwajibkan menjalani program pemantauan selama dua tahun yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Ini memberi stigma kepada seorang tertuduh atau yang disabit kesalahan kerana menjejaskan kehidupan seharian dan realitinya kebanyakan suspek akan mengaku salah dan meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Malaysian Awareness Society (Masa) berpendapat pengguna ganja tidak seharusnya dilabel sebagai penjenayah.

Setiausaha Masa Harish Kumar berkata NGO itu ditubuhkan bagi menggalakkan usaha kajian dilaksanakan untuk mengenal pasti potensi menggunakan kandungan kimia dalam ganja bagi tujuan rawatan.

Katanya, Masa juga mahu memberikan kesedaran terhadap kaedah rawatan menggunakan ganja yang didakwa dapat merawat penyakit tertentu.

“Kita bukan nak galakkan orang hisap ganja di tepi-tepi jalan. Kita mahukan pendidikan mengenai ganja dan satu kajian dilakukan untuk mengenal pasti jenis dan bahan kimia ganja yang sesuai untuk merawat penyakit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Masa juga ingin membantu individu seperti Lukhman yang mahu menyediakan rawatan alternatif bagi pesakit tertentu.

“Kita buat kempen tolong Lukhman. Kita juga beri pendidikan, apa yang mereka buat sebenarnya,” kata Harish.

Katanya, Masa juga sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak untuk tujuan penyelidikan, termasuk pihak penggubal undang-undang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami buat kesedaran apa yang berlaku kepada Lukhman, tahun ini juga Masa sudah berjumpa KKM termasuk dua, tiga pihak lain.

“Masa buat kajian, ada rangka dan sudah cadangkan kepada KKM, terpulang mereka akan ikuti atau tidak. Kita nak kaji berkenaan kesihatan mental,” katanya.

Harish berkata antara bahan kimia aktif dalam ganja yang ingin dieksploitasi untuk rawatan adalah Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC), yang merupakan bahan terlarang.

Bahan ini ditemui dalam barangan yang dirampas polis pada Disember 2015 – 1.3 liter minyak ganja, 27 gram ganja mampat dan 1.4 kilo lagi bahan mengandungi bahan sama.

“Kita tak patut gantung orang semata-mata kerana THC, tetapi saya rasa kes Lukhman akan beri kesan baik,” kata Harish.

Semak semula kes Lukhman

Masa kini menganjurkan kempen atas talian bagi menggesa Putrajaya menyemak semula kes terhadap Lukhman dan individu lain berkait kesalahan serupa.

Setakat ini, petisyen yang menyasarkan untuk meraih 75,000 sokongan itu sudah pun berjaya mengutip lebih 60,000 tandatangan.

Harish berkata mereka juga sudah berbincang dengan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta mereka berjumpa dengan bahagian kajian di KKM untuk langkah selanjutnya.

KKM pula berpendirian minyak ganja hanya boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan penyelidikan kerana masih belum ada bukti bahawa bahan itu mampu menyembuhkan penyakit.

Doktor juga tidak menggunakan minyak ganja bagi tujuan merawat kerana ia disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya, Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah seperti dipetik dalam laporan New Straits Times Rabu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan mahkamah yang menyabitkan Lukhman dengan kesalahan mengedar ganja tersebut sepatutnya dikaji semula.

Pendirian itu juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata kerajaan akan menyemak semula kes berkenaan. – 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen