NGO siswa mahu gembleng pelajar jadi kuasa ketiga pantau kerajaan


Zaim Ibrahim

Asheeq Ali Sethi Alivi (kanan) and Siti Nurizzah Mohamad Tazali ditahan awal bulan ini ekoran demonstrasi bantahan terhadap pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM. – Gambar fail The Malaysian Insight,23 September, 2018.

NGO mahasiswa Gerakan Pembebasan Akademik IPT (GPAIPT) akan memulakan kempen mereka minggu depan untuk menggembleng para pelajar menjadi kuasa ketiga sebagai pemantau kerajaan.

Presiden GPAIPT, Asheeq Ali berkata siri jelajah itu juga bagi menggesa Maszlee Malik meletak jawatan sebagai presiden Universiti Islam Malaysia (UIAM).

“Saya harap orang diluar sana juga perlu sedar yang kita tidak boleh menunggu perubahan berlaku, kita perlu menjadi salah seorang yang berperanan sebagai semak dan imbang.

“Sebagai mahasiswa juga perlu menjadi third force kepada kerajaan,” kata beliau ketika ditemui selepas satu forum di Petaling Jaya pada malam tadi.

Katanya, kempen itu dimulakan di UIAM kerana pelajar universiti itu perlu faham mengenai kesan pelantikan tersebut ke atas autonomi universiti.

“Ini tanggungjawab kami untuk bagi penerangan tentang autonomi dan saya rasa antara masalah dalam isu ini adalah pelajar sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku,” jelas beliau.

Kata Asheeq, masa dan tarikh jelajah itu bagaimanapun belum dapat dipastikan.

Kumpulan GPAIPT terus berkempen pengunduran Maszlee Malik daripada pelantikannya sebagai presiden UIAM . – Gambar Facebook, 23 September, 2018.

GPAIPT pada minggu lalu mengumumkan untuk mengadakan siri jelajah itu susulan kegagalan Maszlee Malik meletak jawatan sebagai presiden UIAM.

Maszlee berkata beliau enggan meletak jawatan kerana dipilih oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Maszlee berkata, tidak wajar untuk beliau melepaskan jawatan berkenaan kerana pelantikannya dilakukan dengan misi untuk mengembalikan kegemilangan UIAM sebagai universiti ulung di dunia

Katanya, beliau  mahu kekal di jawatan tersebut untuk menaiktaraf UIAM menjadi seperti “Oxford University” untuk negara-negara Islam.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen