Maszlee tak akan letak jawatan presiden hingga UIAM jadi Oxford negara Islam


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pelajaran Maszlee Malik ketika mengadakan pertemuan dengan jurucakap aktivis mahasiswa Asheeq Ali di Petaling Jaya hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik bertegas untuk kekal sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga institusi itu naik taraf menjadi seperti “Oxford University” untuk negara-negara Islam.

Maszlee berkata, tidak wajar untuk beliau melepaskan jawatan berkenaan kerana pelantikannya dilakukan dengan misi untuk mengembalikan kegemilangan UIAM sebagai universiti ulung di dunia.

“Saya dilantik dengan misi dan tanggungjawab, adalah tidak bertanggungjawab sekiranya saya menolak dan tidak menjayakan misi itu. 

“Tanggungjawab yang diberikan akan saya laksanakan, selepas itu saya akan letak jawatan,” katanya,ketika sidang media selepas pertemuan bersama wakil mahasiswa yang menentang pelantikannya sebagai pengerusi UIAM, di ibu negara hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau juga akan memastikan UIAM tidak lagi melantik ahli politik sebagai presiden mereka selepas misinya berjaya.

“Menjadikan UIAM ‘Oxford’ kepada dunia Islam itu komitmen saya sebagai (presiden), selepas itu saya akan ubah perlembagaan UIAM supaya ahli politik tidak dilantik sebagai (presiden),” katanya.

Maszlee turut menjelaskan, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan jawatan tersebut kerana melibatkan banyak pihak berkepentingan.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan jawatan tersebut kerana melibatkan banyak pihak berkepentingan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 September, 2018

Maszlee juga menganggap, beliau sebagai menteri pendidikan merupakan “bapa” kepada para pelajar dan bertanggungjawab memujuk “anak” yang dianggapnya merajuk sehingga membantah pelantikan itu.

“Kecewa itu biasa, kadang-kadang anak-anak nak sesuatu daripada ayah tapi ayah lihat dari sudut lain, tugas ayah kena pujuk. Kalau anak kecewa dia kena pujuk cara lain,” kata Maszlee.

Kumpulan mahasiswa yang menyertai pertemuan itu nyata kecewa dengan keputusan itu dan  memberikan masa tujuh hari untuk Maszlee meletak jawatan sebagai presiden UIAM.

Sekiranya gagal, Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (GPAIPT) memberikan amaran akan menggerakkan protes yang lebih besar terhadapnya.

“Kami amat kecewa dengan pertemuan hari ini. Kami harapkan Maszlee letak jawatan hari ini tapi dia keluarkan kenyataan yang tidak memuaskan hati kami,” kata jurucakap kumpulan berkenaan, Asheeq Ali, dalam sidang medianya. – 12 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cakap senang saja...

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Sweesing lee · Ulasan

  • Maszlee sepatutnya melepaskan pekerjaan harian (day job) nya untuk menumpukan perhatian sepenuh untuk menubuhkan Universiti Oxford dunia Islam.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan