TINDAKAN orang kuat Umno Kelantan Mustapa Mohamed keluar parti mungkin disebabkan terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu, kata veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan itu kerana percaya Mustapa keluar parti disebabkan faktor peribadi.
“Kita baru kalah dan mereka ini biasa dengan kedudukan. Kehidupan berlainan daripada dulu.
“Maka kalau ada tawaran atau ada pujukan itu, akan mempengaruhi pemikiran dia. Jadi sama ada dia bergerak ke sebelah sana atau pun tidak, itu bergantung kepada kepentingan dia.
“Tidak ada kena mengena dengan politik. Semua sebab peribadi,” kata Tengku Razaleigh dalam wawancara di kediamannya semalam.
Ia memberi peluang kepada Umno mengeluarkan individu yang tidak setia dalam perjuangan, kata bekas pemimpin Semangat 46 itu lagi.
“Saya tidak tahu tetapi bagi saya mereka bebas hendak ke mana pun. Biarlah jernih keadaan dalam Umno ini. Yang mana yang tiada iman kuat untuk bersama dengan Umno sepanjang masa, biarlah mereka pergi.
“Tidak upaya kita hendak kawal sana sini, hendak pasang perisik, dia jadi beban. Kalau dia tidak setia dengan perjuangan, tidak usah pujuklah. lagipun kita parti kalah, tiada kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ditanya mengenai pertemuan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussien dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan keputusan Mustapa keluar parti minggu ini.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Shamsul Amri Baharuddin berpendapat, pemimpin Umno mungkin bertindak keluar parti disebabkan tekanan pihak tertentu.
Tindakan itu juga mungkin satu strategi politik supaya parti tidak dikaitkan dengan kes yang mungkin sedang disiasat ke atas pemimpin tersebut.
“Kena fikir juga berapa ratus orang akaun ditahan (dibekukan). Takkan kerana semua aman, dia keluar (parti). Tidak.
“Mesti ada sesuatu yang dia rasa tidak aman. Bila rasa tidak aman, sebelum dimasukkan dalam penjara atau sebelum saya dipanggil oleh SPRM, baik keluar dulu.
“Mungkin daripada segi itu dia keluar Umno supaya dia tidak menjejaskan Umno,” ujarnya.
Seramai lima ahli Parlimen termasuk Mustapa dan 13 Adun meninggalkan Umno sejak pilihan raya umum 9 Mei. – 23 September, 2018.
Komen