Strategi Dr Mahathir, Anwar Menjelang PRK Port Dickson


Awang Azman Awang Pawi

MENJELANG pilihan raya kecil (PRK) memilih bakal perdana menteri Malaysia, beberapa episod politik berlaku. Ia umpama kuasa besar cuba menunjukkan kelebihan masing-masing. Namun terserlah juga kelemahan masing-masing.

Episod ahli Majlis Tertinggi Umno Mustapa Mohamed atau dikenali sebagai Tok Pa keluar parti dapat dilihat sebagai contoh yang mempunyai makna dan kepentingan politik simbolik. Beliau menyatakan pendirian politiknya ialah Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. Secara tersiratnya, beliau mendakwa Umno kini eksklusif dan ekstrem. 

Lawan perkataan berhaluan kanan ialah berhaluan kiri. Sejauh mana benar dakwaan tuduhan ini bersifat berhaluan kiri? Lazimnya falsafah politik kiri ialah liberalisme dan sering berdogma sosialisme dan Umno sejak dahulu memerangi falsafah dan dogma tersebut dan kekal konservatif. Ternyata, ahli politik berumur 68 tahun ini kini dilihat berpatah arang dengan Umno.

Anifah Aman pula tiba-tiba tersedar bahawa BN gagal memenuhi janjinya dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menjadikan alasan ini untuk keluar dari Umno selepas parti tersebut sudah tidak lagi berkuasa. 

Namun pengunduran Anifah dapat dilihat langkah lunak politik memandangkan abangnya Musa Aman dalam radar merah politik apabila terlibat dalam siasatan SPRM dan polis. Pasti, Dr Mahathir Mohamad tidak mahu berkompromi isu dakwaan rasuah dan jenayah dalam era kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).

Strategi politik Mahathir

Apa pun alasan yang diberikan oleh Tok Pa dan tindakan beberapa ahli Parlimen Umno yang bakal mengumumkan keluar parti, semua itu dipercayai hasil strategi politik Dr Mahathir. 

Terdapat kalangan ahli Parlimen Umno yang berusaha untuk membuat pertemuan dengan Dr Mahathir sama ada melalui orang tengah atau membuat janji temu sendiri. Ramai antara mereka seolah-olah menyerahkan nasib politik kepada Dr Mahathir. Tidak kurang pula ditempelak oleh perdana menteri kerana lebih setia kepada presiden parti terdahulu daripada perjuangan parti.

Dr Mahathir tetap mengenakan syarat untuk diterima masuk dalam mana-mana parti PH. Antaranya ialah perlu meletakkan semua jawatan dan keluar dari parti. Namun ini bukanlah jaminan mereka akan diterima masuk. 

Kemungkinan Tok Pa dan pemimpin yang meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu tetap bergantung kepada rundingan politik antara mereka dengan Dr Mahathir. Tok Pa dilihat bersih, berprestasi tinggi dan popular dalam kalangan rakyat berpotensi ditawarkan jawatan dalam Kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama.

Sejajar pula dengan luahan rasa tidak puas hati Dr Mahathir terhadap prestasi Kabinet PH, besar kemungkinan tokoh seperti Mustapa antara yang boleh ditarik dalam Kabinet. 

Pada masa yang sama, Tok Pa dilihat orang Daim Zainuddin. Pembabitan politiknya banyak dibantu oleh Daim termasuk menjadi setiausaha politik, senator, timbalan menteri dan ahli Parlimen. 

Namun ini tidak semudah berlaku kerana akan menyebabkan ketidakpuasan dan penentangan dalaman Bersatu sendiri, sedangkan kemenangan menjadi ahli Parlimen atas tiket dan wang deposit Umno.

Imbang kedudukan 

Spekulasi ramai ahli Parlimen Umno akan keluar bukan saja umpama pokok tumbang monyet pun bertempiaran lari. Situasi ini perlu dilihat sebagai strategi politik bagi mengimbangi pengaruh Ketua Umum PH Anwar Ibrahim, yang akan kembali cergas dalam politik sekiranya menang dalam PRK Port Dickson.

Apabila Anwar menang PRK Port Dickson, tidak dapat dielakkan sudah pasti akan wujudnya “kem Anwar” dan “kem Mahathir” dalam PH. Pertambahan ahli Parlimen menyertai PH, khususnya Bersatu akan dapat mengimbangi pengaruh Anwar dalam PH. Bersatu kini hanya ada 13 ahli Parlimen.

Anwar kini cenderung melakukan jaringan, jerayawara dan bicarawara atas nama syarahan di dalam atau di luar negara bagi mempromosikan idea demokratik, sikap dan pendirian dalam isu semasa politik, ekonomi, sosial dan budaya. 

Yang terbaru ialah ucapan yang diakui Anwar sekadar bergurau namun diberikan pelbagai tafsiran politik, “It should be me, not you” yang dijadikan judul portal oleh sebuah media di Singapura. Media tersebut melaporkan seperti berikut; ..But I also felt that I should have been there, you know? I did, I did,” he said, waving his finger. “I do not want to lie to you, I did think about this - it should be me not you (Dr Mahathir)”.

Dr Mahathir pula tidak ketinggalan dalam soal memberikan syarahan. Beliau kini di dalam lawatan kerja ke United Kingdom dan akan memberi ceramah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dan di Chatham House, selain mengadakan sesi temubual dengan BBC.

Dari satu sisi, ia semacam satu persaingan idea yang berlangsung secara lunak dan hanya difahami dalam konteks perbezaan idea, sikap dan pendirian dalam beberapa isu yang dibincangkan. 

Dari satu sisi lain, langkah ini boleh merencatkan kemungkinan idea kebangkitan Umno menerusi kerjasamanya dengan PAS. Sudah pasti Dr Mahathir dapat mencium suasana sentimen politik semasa dan memastikan ia tidak berjaya kerana boleh menyebabkan kedudukan PH terjejas sedikit.

Idea kerjasama terutama isu Gagasan Pakatan Malaysia dihebahkan terlalu awal, maka dengan mudah Dr Mahathir dapat menyekat kemungkinan kebangkitan Umno dan PAS ini dengan lebih cepat. 

Tindakan ini menyerlahkan Dr Mahathir sebagai king maker dalam politik PH. Apatah lagi, pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dibuat menjelang PRK di Port Dickson! – 23 September, 2018.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen