Remaja akan zina jika had umur kahwin 18 tahun, kata mufti Perak


Mufti Perak Harussani Zakaria berkata ibu bapa bertanggungjawab menentukan sama ada sesuatu perkahwinan di bawah umur wajar ataupun tidak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

MUFTI Perak Harussani Zakaria menentang cadangan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun yang menurutnya bertentangan hukum syarak, lapor Berita Harian.

Namun pada masa sama beliau juga tidak bersetuju jika remaja berkahwin terlalu muda seperti kes kanak-kanak 11 tahun yang berkahwin dengan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kelantan.

Jelasnya had usia minimum 18 tahun untuk berkahwin itu akan membuka ruang kepada golongan remaja untuk berzina.

“Kenapa nak sekat dan menambahkan lagi keburukan terhadap gejala sosial sedia ada. Dalam hukum syarak, mereka yang sudah baligh dibenarkan bernikah biasanya perempuan usia 14 tahun sudah baligh. 

“Tetapi, jika usia terlalu muda dan berkahwin dengan lelaki sudah berusia itu saya pun tidak setuju,” kata beliau.

Tambah beliau, ibu bapa bertanggungjawab menentukan sama ada sesuatu perkahwinan di bawah umur wajar ataupun tidak.

“Sama ada sesuatu perkahwinan itu wajar dilakukan atau tidak selepas remaja mencapai usia baligh, bergantung kepada penilaian dan peranan ibu bapa yang lebih memahami situasi mereka,” jelas beliau.

Harussaini mengulas hasrat kerajaan untuk menaikkan had umur minimum daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata kerajaan sedang menyiapkan kertas cadangan untuk menaikkan had umur layak kahwin kepada 18 tahun bagi orang Islam dan bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

Pandangannya itu bertentangan dengan Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad yang yakin bahawa cadangan menaikkan had umur itu dapat melindungi kebajikan anak.

Jelas Mohd Yusof, kanak-kanak berkenaan mungkin menjadi mangsa perkahwinan aturan keluarga kerana terdapat kes disebabkan masalah peribadi ahli keluarga termasuk untuk melangsaikan hutang pihak lain. 

“Ada keluarga berhutang, mencagarkan anak mereka dan akibatnya, anak terpaksa dikahwinkan kepada si pemiutang,” tambahnya lagi seperti dipetik dalam laporan sama.

Cadangan menaikkan had umur itu juga membantu mencegah perkahwinan aturan yang tidak munasabah, seterusnya menjadi panduan ibu bapa sebelum mengahwinkan mereka. 

Kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan yang berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah semalam berkata kerajaan mendapati kes tersebut mendapat persetujuan remaja tersebut namun kerajaan akan tetap meneruskan usaha menaikkan had umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof pula berkata, perkahwinan tersebut boleh berlaku akibat hakim syarie belum mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan.

Oleh itu, kerajaan akan memperketatkan prosedur perkahwinan bawah umur sedia ada kerana garis panduan itu hanya dipatuhi mahkamah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kes remaja 15 tahun itu merupakan kes kedua yang menjadi tumpuan tahun ini, selepas kes pertama pada Jun di Gua Musang, melibatkan kanak-kanak 11 tahun berkahwin dengan lelaki 40 tahun. – 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen