Hakim syariah perlu ikut SOP perkahwinan bawah umur, kata Mujahid


HAKIM mahkamah syariah yang mengendalikan atau menerima kes perkahwinan bawah umur diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan dalam Persidangan Hakim-Hakim Syarie dua bulan lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata garis panduan bagi rujukan hakim syarie itu telah dikeluarkan selepas kes perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun yang mengejutkan seluruh negara.

“Tujuan utama adalah untuk memperketatkan (prosedur) sedia ada berkaitan perkahwinan bawah umur namun setakat ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengikutinya.

“Perkahwinan membabitkan remaja perempuan berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan baru-baru ini berlaku kerana hakim yang ditugaskan belum mengikuti SOP yang diluluskan,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut Mujahid antara prosedur yang ditetapkan adalah ibu bapa perlu mendaftarkan permohonan untuk mengahwinkan anak di bawah umur dan pemeriksaan latar belakang keluarga termasuk penilaian psikologi dan kesihatan serta kewangan akan dilakukan.

Selepas itu, barulah hakim syarie akan membuat keputusan namun garis panduan itu secara jelas menetapkan faktor kemiskinan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perkahwinan bawah umur, tegas Mujahid. 

“Kita juga dalam pertimbangan untuk menetapkan had umur setara antara lelaki dan perempuan iaitu 18 tahun bagi kebenaran perkahwinan bawah umur,” ujarnya.  

Baru-baru ini media melaporkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun, yang merupakan kes kedua selepas kes perkahwinan membabitkan bawah umur di Gua Musang pada Jun lalu.

Terdahulu, Mujahid menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan kepada Sheikh Abdul Halim Abd Kadir yang merupakan pengerusi Persatuan Ulama Malaysia dan bekas mufti Negeri Terengganu. 

Beliau menerima RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. 

Turut menerima anugerah adalah Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad (Anugerah Khas Ilmuan), Prof Dr Taufiq Yap Yun Yin (Anugerah Khas Pendakwah), Syed Saleh Syed Abdul Rahman (Anugerah Khas Koporat) dan Abdul Ahad Abu Bakar ( Anugerah Khas Imam). 

Keempat-empat tokoh menerima wang tunai berjumlah RM3,000, trofi serta sijil penghargaan.  – Bernama, 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen