SEORANG lelaki Sabah antara empat rakyat Malaysia yang kini kritikal selepas dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor akibat keracunan metanol.
Abdillah Andara,36, yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat keselamatan, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh.
Isterinya, Suhaini Sulong,30, berdoa suaminya akan pulih segera.
“Saya sangat sedih bila melihat keadaannya. Saya tak sangka boleh jadi teruk macam ini.
“Saya tak akan benarkan lagi dia minum arak lepas sembuh nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini berkata, Kementerian Kesihatan menerima 55 kes keracunan metanol di Lembah Klang setakat hari ini di mana 48 daripadanya berlaku di Selangor, manakala tujuh di Kuala Lumpur.
Setakat ini 21 kematian dicatatkan akibat keracunan metanol - 19 dilaporkan di hospital kerajaan dan dua lagi di hospital swasta.
Mangsa lain ialah rakyat asing dari Nepal, Myanmar, Bangladesh dan India.

Polis setakat ini membuat serbuan ke atas beberapa buah kedai minuman keras di Lembah Klang dan menangkap sekurang-kurangnya tujuh peniaga ketika jumlah kematian akibat keracunan alkohol yang kian meningkat.
Suhaini berkata suaminya telah membeli sebotol arak Grand Royal 500 ml dari sebuah kedai di Subang.
“Dia beli sebotol tapi tak minum sampai habis. Pukul 4 pagi esoknya, dia mengadu susah nak bernafas.
“Kami ingatkan tak ada apa-apa. Kemudian pukul 6 pagi dia pergi kerja dan balik pada pukul 8.30 pagi.”
Sambil menahan sebak, Suhaini berkata suaminya mengadu sakit-sakit di badan dan rasa tidak sihat.
“Bila dia mula sakit kepala, kami terus bawa dia ke hospital pada waktu tengahari. Dia pengsan semasa dalam perjalanan.
“Dia dalam keadaan kritikal di wad kecemasan dan kemudian dipindahkan ke ICU pada pukul 7 malam hari yang sama.”
Suhaini juga memberi baki arak yang tidak dihabiskan suaminya kepada pihak hospital. – 19 September, 2018.
Komen