Kementerian Kesihatan jangka lebih banyak kes keracunan metanol


Noel Achariam Christopher Rabin

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad setakat ini kementerian menerima 55 kes keracunan arak di Lembah Klang - 48 di Selangor dan tujuh di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 September, 2018.

LEBIH ramai lagi akan ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat keracunan metanol yang setakat ini meragut 21 nyawa.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kemungkinan akan ada lebih banyak kes keracunan metanol dan maklumat mengenainya akan dikemas kini.

“Kami sedang melakukan segalanya untuk menangani isu ini. Kami telah merampas 291 botol arak pelbagai jenama tetapi mungkin ada lebih banyak lagi di luar sana.

“Kemungkinan lebih ramai yang akan datang untuk dapatkan rawatan,” kata beliau di Kementerian Kesihatan hari ini.

Setakat ini Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan hanya menemui kandungan metanol yang tinggi dalam arak jenama Grand Royal Whiskey yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September, 2018.

Menurut Dr Dzulkefly, setakat ini kementerian menerima 55 kes keracunan metanol di Lembah Klang - 48 di Selangor dan tujuh di Kuala Lumpur.

“Setakat ini 21 kematian dilaporkan akibat keracunan metanol. 19 kematian di hospital kerajaan manakala dua di hospital swasta.”

Dr Dzulkefly berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sudahpun menjalankan analisis ke atas Grand Royal Whiskey, Mandalay Whiskey dan King Fisher.

Setakat ini katanya, mereka hanya menemui kandungan metanol yang tinggi dalam arak jenama Grand Royal Whiskey yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Tambah beliau lagi, ini bukan kali pertama keracunan metanol berlaku.

“Kes pernah berlaku pada 2013 iaitu 44 kes dan 33 kematian. Juga pada 1981 iaitu 31 kes di Kedah.

“Tetapi kami tidak dimaklumkan mengenai mana-mana kes di negeri-negeri lain.” – 19 September, 2018.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen