Zahid suruh Dr Mahathir duduk diam, banyak berzikir


Chan Kok Leong

SERANGAN terhadap Dr Mahathir Mohamad berterusan dari siang hingga ke malam apabila Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bekas perdana menteri itu yang zamannya sudah berakhir.

“Jangan layanlah masalah di luar itu,” kata Zahid semasa berucap pada mesyuarat Bahagian Umno Merbok di Sungai Petani malam tadi.

“Parti pembangkang tetap parti pembangkang, terutama parti pembangkang yang asalnya daripada kita,” kata timbalan perdana menteri.

“Zaman depa dah lepas. Duduklah diam-diam, zikirlah banyak-banyak,” katanya samar-samar merujuk kepada Dr Mahathir disambut tepukan daripada perwakilan Bahagian Merbok.

Menurut Zahid kesabaran ada hadnya.

“Kita hormat, siapa pun kita hormat… tapi kalau dia nak kutuk kita, kutuk PM, siapa tahan. Kita ada sabar. Kesabaran kita apabila kita ditolak ke dinding, kita mesti patah balik, mesti kalau boleh kita tibai balik.

“Dia tibai kita 10 kali, kita tibai dia sekali cukuplah,” tambahnya.

Pada sebelah siang sebelumnya, di Jerlun, Zahid berkata beliau ada bukti Dr Mahathir sebenarnya yang mahu menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak.

Zahid mengulangi dakwaan yang beliau ada rakaman perbualannya dengan Dr Mahathir pada 2015.

“Perbualan ketika perjumpaan dengan bekas pemimpin itu ada dirakam dan rakaman itu juga masih ada pada saya.

“Ketika itu, saya baru 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri, jadi macam mana secara logiknya saya mahu jatuhkan (Najib) kalau baru 10 hari pegang jawatan itu,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun.

Pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Zahid bermula apabila timbalan perdana menteri itu mengungkit susur galur keturunan India bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir membalas serangan itu dengan mendedahkan yang Zahid kononnya mahu menyingkirkan Najib dan pernah ada kekayaan bernilai RM230 juta semasa jadi ketua pemuda Umno.

Zahid masih belum menjawab tuduhan mengenai pemilikan hartanya itu.

Sementara itu, Zahid meminta Umno Merbok mengekalkan kerusi Parlimen Merbok dan kerusi DUN Tanjung Dawai serta merampas semula kerusi DUN Bukit Selambau dalam pilihan raya akan datang.

Kerusi Parlimen Merbok disandang Prof Dr Ismail Daut daripada Umno manakala Tangjung Dawai diwakili Ketua Bahagian Umno Merbok Tajul Urus Md Zain. DUN Bukit Selambau pula wakil rakyat R Krishnamoorthy daripada PKR. – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen