UMNO menempa sejarah hari ini apabila presidennya yang baru dipilih, Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin kanan parti hadir pada pembukaan Muktamar Tahunan PAS Pusat di Kuala Terengganu.
Antara pemimpin Umno yang kelihatan termasuk Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung, Annuar Musa; Ketua Penerangan, Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Majlis Tertinggi, Lokman Noor Adam.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden MIC, K Devamany, yang duduk bersama pemimpin-pemimpin parti gabungan Gagasan Sejahtera, Ikatan dan Berjasa.
Ini adalah kali pertama pemimpin Umno dan Barisan Nasional hadir di muktamar PAS sejak parti Islam itu meninggalkan pakatan politik itu pada 1977.
Pada Khamis, pemimpin sayap Umno iaitu Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Noraini Ahmad menghadiri muktamar sayap seangkatan PAS.
Asyraf yang hadir bersama 10 wakil daripada pergerakan Pemuda Umno Malaysia berkata kehadiran mereka itu satu sejarah tersendiri selepas 40 tahun dua parti itu tidak bersama.
“Ia merupakan perkara yang diperlu disemarakkan atas dasar dua parti (Umno dan PAS) mewakili umat Islam dan Melayu terbesar (di Malaysia) dan mengukuhkan blok pembangkang,” katanya.

Jelas beliau, Umno dan PAS sebelum ini sudah bekerjasama dalam beberapa isu atas kepentingan bersama termasuk dalam isu umat Islam di peringkat antarabangsa.
Asyraf bagaimanapun berkata kehadiran Pemuda Umno di Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat itu bukan kerana tujuan politik semata-mata tetapi lebih untuk memupuk persaudaraan atas dasar Islam dan kepentingan rakyat.
PAS dan Umno sedang meneroka untuk menjalin kerjasama politik menuju pilihan raya umum akan datang.
Dewan Pemuda PAS Pusat semalam menolak kerjasama politik dengan Umno sebaliknya menegaskan mahu mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam Gagasan Sejahtera, pakatan politik yang dibentuk sebelum PRU14 lalu.
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan penolakan kerjasama dengan Umno itu adalah usul Pemuda PAS yang nanti akan diputuskan pada peringkat parti.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijadual menyampaikan ucapan dasarnya pada pukul 10.45 pagi ini. – 15 September, 2018.
Komen