SEBUAH lagi syarikat filem di Thailand mengumumkan hasrat memindahkan ke layar perak kisah dramatik 12 kanak-kanak pemain bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua yang dinaiki air, lapor AFP.
Syarikat produksi De Warrenne Pictures semalam mengumumkan filem diberi judul The Cave itu akan memulakan penggambaran November ini.
“Projek ini sudah sedia untuk dimulakan,” kata produsernya Katrina Grouse, seperti dipetik AFP.
Filem itu akan diarahkan oleh Tom Waller, pembikin filem keturunan Thai-Ireland yang menetap di Bangkok.
Sejak pasukan Wild Boars itu diselamatkan dari gua Tham Luang di utara Thailand dua bulan lalu, banyak pihak tampil menunjukkan minat pada cerita luar biasa itu.
Drama operasi menyelamat yang mengambil masa berminggu-minggu itu menarik minat bukan saja pembikin filem cereka dan dokumentari tetapi juga wartawan yang mahu menulis buku merakamkan episod menyelamatkan pasukan bola sepak itu. – 12 September, 2018.
Komen