12 kanak-kanak Thai terperangkap dalam gua diselamatkan


Gambar daripada pasukan tentera laut diraja Thailand menunjukkan 12 kanak-kanak yang terperangkap dalam gua Khun Nam Nang Non di Chiang Rai, Thailad ketika mereka ditemui selamat oleh pasukan penyelam. – Gambar AFP, 3 Julai, 2018.

SEMUA 12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam gua ditenggelami banjir di Thailand selama sembilan hari, ditemui selamat, malam tadi, dalam operasi menyelamat.

Sekumpulan pakar selam akhirnya menemui mangsa yang kelihatan kurus di benteng lumpur.

Semua kanak-kanak berusia antara 11 dan 16 tahun itu tidak dapat dihubungi sejak hilang bersama jurulatih berusia 25 tahun pada 23 Jun.

Usaha mencari dan menyelamat besar-besaran yang dilakukan mendapat bantuan antarabangsa, tetapi menemui jalan sukar kerana ujan lebat menyebabkan banjir di gua Tham Luang di utara Thailand, menyekat akses ke ruang di mana kumpulan itu diharapkan berada.

Tetapi pada malam tadi, gabenor wilayah Chiang Rai mengumumkan berita pasukan penyelam tentera laut berjaya menemui semua mangsa.

“Kami temui semua 13 orang selamat, kami akan jaga mereka hingga mereka boleh bergerak,” kata Narongsak Osottanakorn kepada wartawan.

“Kami akan bawa makanan kepada mereka dan doktor yang boleh menyelam. Saya tidak pasti sama ada mereka boleh makan atau tidak, kerana mereka sudah lama tidak makan.”

Keadaan kesihatan mangsa masih tidak dapat dipastikan kerana mereka sudah lama berada di dalam gua.

Satu rakaman dikongsikan di laman Facebook Thai Navy SEALS menunjukkan kanak-kanak lelaki yang kurus memakai jersi bola sepak mereka yang kelihatan besar. Mereka juga comot dengan lumpur, dikelilingi air, ketika penyelamat akhirnya menemui mereka.

“Terima kasih!,” kata salah seorang daripada mereka, sementara yang lain menjerit “13” ketika seorang penyelam dari Britain bertanya berapa jumlah mereka semua.

Salah seorang penyelam Britain yang menemui kumpulan itu menjawat: “Bagus!”

“Ramai lagi akan datang..kami yang pertama,” kata penyelam kepada kumpulan kanak-kanak itu ketika menyuluh mereka menggunakan lampu suluh.

“Kamu semua sudah 10 hari di sini, kamu memang sangat kuat,” kata salah seorang penyelam itu.

Di luar gua itu, waris mangsa mengucapkan syukur dan mengadakan upacara vigil, sambil berpelukan sesama sendiri atas kejayaan operasi menyelamat itu. – AFP, 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen