Aktivis mahasiswa jumpa Maszlee, bawa satu tuntutan utama


Zaim Ibrahim

Asheeq ALi, 23, bersama seorang lagi aktivis, Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai daripada protes duduk bantah di pagar bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. – Gambar Facebook, 12 September, 2018.

AKTIVIS mahasiswa akan bertemu Maszlee Malik hari ini dengan membawa tuntutan tunggal – menteri pendidikan itu perlu meletak jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jurucakap kumpulan aktivis itu, Asheeq Ali berkata beberapa perkara lain akan turut dibincangkan tetapi perkara utama adalah untuk menggesa Maszlee menarik diri daripada jawatan itu.

Kami berkeras untuk dengar sendiri daripada beliau, agar meletak jawatan sebagai presiden UIAM.

“Kami juga ingin beliau mendengar sebab kami menentang apa-apa lantikan politik dalam universiti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Asheeq berkata perkara itu diputuskan pada Isnin lalu bersama wakil Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM), Pemuda Sosialis, Demokrat Universiti Malaya (UM), Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), dan Mahasiswa PKR.

Mereka mendesak Maszlee meletak jawatan sebagai presiden UIAM kerana mereka tidak mahu wujud campur tangan politik dan mendesak kerajaan mengekalkan autonomi dalam universiti.

Mereka turut berkeras agar pertemuan itu diadakan di UM bersama 20 wakil pertubuhan siswa berkenaan, dan bukannya di restoran.

Menurutnya, pertemuan itu pada asalnya akan berlangsung di pejabat menteri di Putrajaya, namun kemudian mereka diberitahu tempatnya dipindahkan ke sebuah restoran di Kuala Lumpur.

“Ini mengenai isu nasional. Perjumpaan yang hanya di sebuah restoran tidak sesuai,” kata pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Menurut pegawai di pejabat Maszlee pertukaran lokasi itu bagai menyesuaikan jadual menteri yang akan berada di ibu negara hari ini.

Pada petang Isnin, Menteri Pendidikan Maszlee Malek berkata beliau komited untuk bertemu dengan aktivis terbabit bagi menyelesaikan kemelut pelantikannya sebagai presiden UIAM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018.

Asheeq berkata beberapa pertubuhan mahasiswa menghantar permohonan untuk berbincang dengan Maszlee sebanyak lima kali sejak dilantik sebagai menteri tetapi tidak dilayan.

Katanya, tuntutan itu hanya didengar apabila mereka mengadakan protes duduk bantah di pagar bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya.

Ia menyebabkan Asheeq, 23, bersama seorang lagi aktivis, Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan depan pagar tersebut.

Asheeq dan Nurizzah dibebaskan selepas ditahan hampir enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Sejurus dibebaskan, Mazslee memaklumkan kesudiannya untuk bertemu dengan aktivis tersebut pada hari ini untuk mendengar sendiri pandangan mereka.

Pada petang Isnin, Maszlee sekali lagi mengeluarkan kenyataan bahawa beliau komited untuk bertemu dengan aktivis tersebut bagi menyelesaikan kemelut pelantikannya sebagai presiden UIAM.

Beliau berkata dasar pintu terbuka, kebebasan bersuara serta autonomi universiti akan terus dipelihara. – 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen