Tiada perkara baharu dalam bukti derma didedahkan Najib, kata wartawan WSJ


Najib Razak semalam mendedahkan beliau akan memberikan dokumen menunjukkan derma RM2.6 bilion yang diterimanya, tetapi menurut wartawan Wall Street Journal yang membongkar skandal tersebut tidak ada perkara baharu dalam dokumen itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak hanya mendedahkan fakta terpilih berhubung wang didakwa dirompak daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata wartawan Wall Street Journal yang membongkar skandal tersebut.

Tom Wright dan Bradley Hope berkata tidak ada perkara baharu didedahkan Najib apabila bekas perdana menteri itu memuatnaik dokumen di Facebook mengenai wang didakwa diberikan kerajaan Arab Saudi pada 2011.

“Kami sentiasa melaporkan perkara itu (yang Najib menerima jutaan dari Arab Saudi pada 2011). Ia tiada kaitan dengan AS$681 juta pada 2013 yang datang dari 1MDB, tidak termasuk puluhan juta lagi yang datang dari dana itu,” kata Wright menerusi akaun Twitternya menjawab catatan Facebook Najib.

“Najib berkata dia ambil masa untuk mendapatkan dokumen derma Saudi ini. Kami sudah ada (dokumen) tersebut bertahun lamanya, dan tidak ada perkara baharu mengenainya. Dan ia tidak menjelaskan mengapa dia terima AS$681 juta tunai daripada 1MDB.”

Dalam catatan Facebook itu, Najib berkata beliau akan menjelaskan wang AS$681 juta atau RM2.6 bilion yang didakwanya sebagai derma pada sebuah sidang media atau kenyataan media.

Tetapi, Hope menerusi akaun Twitternya berkata dokumen yang ditunjukkan Najib “sebahagiannya memberikan gambaran salah” dan juga berasaskan “unsur penipuan”, menambah yang dokumen itu diragui kesahihannya.

Wartawan WSJ itu juga mengingatkan Najib tentang sebuah rencana disiarkan pada September 2016, tentang jumlah wang lain didakwa daripada 1MDB yang masuk ke akaun Najib.

Secara keseluruhannya, siasatan mendapati AS$1 bilion daripada AS$3.5 bilion yang diseleweng daripada 1MDB masuk ke akaun Najib, menurut pemfailan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Skandal kewangan rentas negara 1MDB menyebabkan kejatuhan pentadbiran Barisan Nasional diketuai Najib Razak yang memerintah 60 tahun lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Rencana yang diterbitkan pada 2016 itu menjejak transaksi rumit antara bank persendirian, syarikat pesisir pantai dan dana di banyak negara untuk menunjukkan bagaimana AS$ 1 bilion akhirnya masuk ke akaun Najib antara 2011 dan 2015.

Ia juga menyenaraikan pelbagai usaha sama dan pinjaman dilakukan 1MDB, di mana wang daripada pinjaman dan bon ini disalurkan melalui pelbagai pihak ketiga sebelum masuk ke akaun Najib.

Ini termasuklah usaha sama dengan syarikat minyak Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd, bon yang dijana Goldman Sachs untuk 1MDB bagi pembelian tapak tenaga dan usaha sama hartanah dengan Abu Dhabi.

Sehingga kini, Najib masih belum menjawab dakwaan yang beliau menerima wang daripada usaha sama ini tetapi hanya menumpukan kepada derma RM2.6 bilion Arab Saudi, yang sebahagian besar dakwanya sudah dikembalikan.

Siasatan dan pendakwaan dalam skandal 1MDB mula dilakukan semula selepas pertukaran kerajaan 9 Mei lalu. Skandal itu mendapat liputan meluas dunia, dianggap skandal kleptokrasi terbesar pernah wujud. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib buat masa sekarang tidak ada kaitan dengan “derma” tersebut, sebaliknya ia berkaitan RM42 juta yang diterimanya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International antara tempoh Disember 2014 dan Februari 2015, ketika beliau masih perdana menteri.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa kerana menggunakan kedudukannya memberi jaminan ke atas pinjaman RM4 bilion dilakukan SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Perbicaraan ditetapkan selama 43 hari pada Februari dan Mac tahun depan. – 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen