.jpg)
DI sini saya ingin menjelaskan bahawa keputusan “nolle prosequi” (iaitu di mana pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan) berhubung pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon telah dibuat tanpa sebarang penglibatan oleh peguam negara.
Perkara ini pernah dijelaskan dalam kenyataan akhbar bersama
Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telah mengambil pendekatan “fresh eye”, dan saya telah diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dibuat oleh kedua-dua Lim dan Phang.
Ini memandangkan saya tidak pernah terlibat dengan kes tersebut dan dipercayai akan dapat memberi pertimbangan terhadap kes tersebut dari perspektif yang baharu.
Setelah diberi penugasan tersebut, saya telah meneliti keterangan-keterangan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM, dan juga keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang telah diuji dengan pemeriksaan balas.
Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama dibawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pertuduhan kedua dibawah seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif.
Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.
Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai timbalan pendakwa raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Lim dan Phangtidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.
Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan “nolle prosequi” pertuduhan-pertuduhan terhadap keduadua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Semalam, pada jam 7.18 pagi, saya telah memaklumkan keputusan saya kepada Masri Mohd Daud, yang merupakan pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM dan yang juga merupakan seorang timbalan pendakwa raya, yang ketika itu berada di Pulau Pinang.
Walaupun pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk satu perintah “pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan”, mahkamah telah memutuskan untuk satu perintah pelepasan dan pembebasan. Keputusan mahkamah ini dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan dan telah dibuat mengikut seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.
Saya ingin menegaskan bahawa amalan untuk “nolle prosequi” bukanlah sesuatu amalan yang luar biasa. Perkara ini telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada pihak peguam dan setelah menemui keterangan baru atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan.
Berhubung kes terhadap Lim dan Phang, terdapat bukti baru yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.
Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan merupakan satu kuasa dan budi bicara pendakwa raya. Dalam kes ini, saya telah merahsiakan keputusan saya sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang bahawa keputusan tersebut akan dibocorkan dan akan menyebabkan gangguan yang tidak diingini.
Bahkan, keputusan saya ini adalah terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada peguam negara pada jam 9.44 pagi semalam.
Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan berhubung representasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar. Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim dan Phang.
Saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih.
Keadilan adalah keutamaan saya. – 4 September, 2018.
* Mohamad Hanafiah Zakaria adalah ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan serta timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen