Memahami ekologi budaya dan pencapaian Melayu


Awang Azman Awang Pawi

Kerajinan rakyat Kelantan berada pada tahap hebat khususnya dalam bidang keusahawanan hingga menjadi ahli perniagaan terkenal bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir semalam dalam “Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara” memuji rakyat Kelantan yang disifatkannya rajin bekerja hingga menjadi mahir dan cekap dalam bidang yang diceburi tetapi bukan di negeri sendiri.

Kerajinan rakyat Kelantan berada pada tahap hebat khususnya dalam bidang keusahawanan hingga menjadi ahli perniagaan terkenal bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia. Beliau mengaku orang Kelantan lebih cekap berbanding orang Kedah dari segi perniagaan.

Di mana-mana negeri, yang menjalankan perniagaan adalah orang Kelantan dan orang Kelantan bijak-bijak belaka. Pemilik ladang besar di Kelantan ialah wanita dan bukan lelaki.

Dr Mahathir melahirkan kehairanan apabila rakyat Kelantan tidak dapat melaksanakan apa-apa yang mereka lakukan di negeri lain untuk negeri kelahiran mereka sendiri.

Malah menurut Dr Mahathir kerajaan Kelantan juga menghadapi masalah kewangan kerana kekurangan kutipan dari hasil cukai menyebabkan negeri itu miskin.

“Kenapa mereka tidak boleh buat di Kelantan itu adalah soalnya. Barangkali persekitaran tidak kena di sana, sama-samalah kita kaji persekitaran itu mengapa jadi sedemikian.

“Jadi saya tidak tahu bagaimana orang yang cekap boleh berniaga apa semua, tidak ada di Kelantan tetapi ada di tempat lain, ada sesuatu yang tidak kena di situ.

“Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan perkara ini, ini adalah sesuatu untuk mereka bangunkan kelantan lebih pesat dari tempat lain,” katanya.

Ekologi budaya

Sebenarnya Dr Mahathir perlu melihat kerangka perbandingan yang luas tidak sekadar melihat situasi masyarakat Kelantan dalam konteks dunia Melayu.

Situasi di Kelantan, boleh dibandingkan dengan persamaan masyarakat Minang di Padang, Indonesia. 

Apabila pergi ke Padang di Sumatera Barat, Indonesia didapati lebih 90% perniagaan di Padang, dikuasai oleh masyarakat Minang. Masyarakat ini terdapat di merata dunia termasuk Malaysia.

Di luar Padang sendiri, masyarakat Minang banyak menjadi pentadbir terkemuka, ilmuan, ahli perniagaan terkenal di merata-rata provinsi di Indonesia.  

Ramai juga asal dari Padang berhijrah ke Kelantan dan membudayakan perniagaan sebelum perang dunia pertama lagi. Pemilik Karangkraf juga keturunan Minang.

Mohamed Nasir, mantan menteri besar Kelantan, Khaidil Khatim iaitu bekas pesuruhjaya PAS Kelantan tahun 50-an, dan Bustamin Ismail pengasas restoran nasi Sumatera di Kelantan ialah berketurunan Minang. 

Bustamin pernah terlibatkan dalam gerakan Islam Masyumi sebelum berhijrah ke Kota Bharu.

Golongan ini membantu membina budaya niaga berkembang di Kelantan, sebelum  generasi seterusnya berhijrah ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Ini tidaklah menghairankan kerana terdapat lebih 75% masyarakat Indonesia yang tinggal Australia terdiri daripada masyarakat Minang.

Majalah Tempo pernah mencatatkan enam daripada 10 tokoh berpengaruh abad ke-20 ialah orang Minang dan tiga daripada empat pengasas Indonesia juga terdiri daripada orang Minang. 

Namun keadaan Padang juga sama seperti situasi di Kelantan.  

Meskipun ramai yang berjaya di luar, menguasai perniagaan di Padang, hakikatnya di Padang sendiri tidaklah maju seperti provinsi lain.

Malah, Presiden Joko Widodo pernah meletakkan beberapa kabupaten di wilayah Padang sebagai antara wilayah yang tertinggal termasuklah dari aspek sumber daya manusia, infrastruktur, kemampuan kewangan daerah rendah, aksesibiliti dan ciri-ciri kedaerahan.

Inilah yang disifatkan sebagai pembangunan wilayah yang tertinggal dan perlu diberikan perhatian dengan dasar khusus.

Adaptasi budaya

Sebenarnya, berdasarkan perspektif ekologi budaya, masyarakat yang kurang maju dari segi teknologi lebih kuat dipengaruhi oleh persekitaran.

Dalam konteks persekitaran kawasan Padang dan Kelantan, itulah kawasan yang sesuai untuk pertanian namun kawasan pertanian terhad melainkan terdapat dasar pemberian tanah pertanian ala negara kebajikan dilaksanakan.

Di Kelantan, pada setiap hujung tahun sering berlaku banjir. Ini menyukarkan tanaman pertanian manakala di Padang tanah pertanian juga terhad sementara industri arang dimulakan oleh kolonial sudah ditutup dan hanya  bergantung kepada industi simen.

Hakikatnya, ekologi yang serupa akan menghasilkan budaya yang serupa.

Justeru, dalam konteks ini, penduduknya perlu menyesuaikan situasi persekitaran dengan melibatkan diri dalam perniagaan agar kurang bergantung kepada pertanian sepenuhnya.

Inilah yang dikatakan adaptasi yang dilakukan untuk mengatasi bentuk rintangan yang berlaku seterusnya mempengaruhi pembentukan budaya niaga.

Dalam konteks sistem, proses adaptasi yang berlaku pada sesuatu sistem budaya itu tidak berlaku secara tidak menentu. Ia tetap bergantung kepada situasi persekitaran.

Apabila sistem politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat, maka banyak hambatan berlaku.

Apabila kurang dapat menyesuaikan dengan situasi ini, maka berhijrah ke tempat-tempat lain ialah jalan terbaik.

Ini dipupuk oleh tiga ciri masyarakat tersebut, iaitu ketaatan yang kuat terhadap Islam, budaya merantau dan budaya jaringan sesama kelompok mereka yang bersifat praktis.

Ia juga memanfaatkan budaya Minang dan Kelantan yang kuat ikatan kelompok, sering bantu membantu sesama mereka dan bersatu apabila melibatkan kepentingan kelompok mereka.

Apabila berada dalam persekitaran baru  yang mempunyai akses teknologi dan kemudahan asas yang lebih baik maka maka berlakulah peningkatkan kecekapan teknologi dan tidak lagi terikat sepenuhnya kepada persekitaran.

Ini keluar daripada kepompong  persekitaran yang terhad, dan mudah. Dengan kata lain, keluar daripada teknologi yang simple menghasilkan budaya yang simple.

Namun, perlu diingat proses ini mempunyai laluan yang tersendiri pada kadar yang berberbeza mengikut tahap keazaman dan kerajinan atau kebolehan yang berbeza berdasarkan persekitaran mereka.

Sebenarnya faktor keupayaan tenaga dan kecekapan teknologi yang dapat menghasilkan budaya baru mengikut teori ekologi budaya.

Inilah sebenarnya dapat menjelaskan situasi yang dialami oleh masyarakat Minang dan Kelantan.

Ini sesuai dengan kenyataan Dr Mahathir, bahawa orang Kelantan perlu diberikan iklim yang sesuai untuk memajukan negeri Kelantan dan faktor persekitaran menurut beliau, faktor utama menjadi punca sedemikian. 

Semakin cekap mereka berinteraksi dengan persekitaran dan membina persekitaran baru akan semakin maju kelompok masyarakat ini.

Hal ini dapat dilihat pada pertemuan pada hujung bulan ini, apabila masyarakat Minang akan mengadakan pertemuan masyarakat Minang Sedunia di Melbourne, Australia yang secara tidak langsung menunjukkan betapa kemajuan mereka tidak kurang berbanding dengan masyarkat Cina Foochow yang dilihat etnik Cina yang mahir dalam dunia niaga dan politik. – 2 September, 2018

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen