Saya malu ada orang seperti Zahid dalam Kabinet, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad terkejut dengan tindakan Zahid Hamidi yang menggunakan faktor keturunan untuk menyerangnya dan menganggap timbalan perdana menteri itu sebagai pembohong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menggelar Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi “kaki pembohong” selepas beliau menyerang keturunan bekas perdana menteri itu.

“Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat Zahid. Tidak pernah ada sesiapa yang menyentuh tentang perkara, asal usul saya yang berbeza daripada apa yang diketahui umum.

“Ia menunjukkan betapa pembohongnya Zahid,” kata Dr Mahathir dalam siaran video pada akauan Facebook Bersatu petang ini.

Bekas perdana menteri yang kini menjadi ketua pembangkang itu mengulas kenyataan Zahid di perhimpunan agung tahunan Umno Kelana Jaya semalam yang mengatakan ayah Dr Mahathir seorang India.

“Dr Mahathir lupa mengenai fakta ini – dia adalah anak Iskandar Kutty. Pada kad pengenalan birunya, nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

“Ini diperoleh daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. Patutlah dia mudah lupa, sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kata timbalan presiden Umno itu.

Dr Mahathir menuduh Zahid sebagai seorang pembohong kerana beliau tidak mampu menunjukkan nama pada kad pengenalan berkenaan.

“Saya masih ingat kad pertama yang saya terima semasa belajar di universiti. Justeru, kalau dia boleh tunjuk, saya hendak tengok. Jangan sembunyi, jangan buat seperti Apandi,“katanya merujuk kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang awal bulan ini dipanggilnya pembohong juga kerana mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apandi tidak ada-apa untuk ditunjukkan. Dia meletakkannya di bawah Akta Rahsia Rasmi. Adakah Zahid mahu merahsiakan ini juga? Tunjuk sahajalah,” kata pengerusi Bersatu itu.

Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, Zahid berjumpa dengannya selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi mendapatkan simpati dan sokongannya.

“Saya memberitahunya walaupun Najib akan meletakkan jawatan, di mana ketika itu tidak mungkin, dia perlu menunggu Umno untuk memutuskan pengganti Najib.

“Belum tentu Zahid menjadi pengganti Najib. Apabila nak simpati saya, dia datang. Bila tak dapat, dia carilah jalan dengan berbohong seperti ini.

“Saya malu ada orang seperti ini dalam Kabinet Malaysia,” kata ahli politik veteran berusia 92 tahun itu.

Pendedahan maklumat keturunan dan rakaman layar kad pengenalan lama Dr Mahathir menjadi tular di media sosial sejak kenyataan dibuat Zahid itu.

Awal hari ini, akaun Facebook Mukhriz Mahathir FC memaklumkan, Iskandar adalah datuk kepada Dr Mahathir dan bukannya nama bapa Dr Mahathir iaitu Mohamad.

Ia menerangkan: “Iskandar yang berasal dari Kerala dan berkahwin dengan Siti Hawa dari Johor, yang melahirkan Mohamad pada 1881 di Pulau Pinang.”

“Mohamad berkahwin dengan Wan Tempawan Wan Hanafi, dan Tun M @ Che Det (Dr Mahathir) dilahirkan.

“Iskandar dibawa ke Malaya oleh Syarikat India Timur untuk mengajar bahasa Inggeris di istana. Sementara itu, Mohamad adalah pengetua pertama Kolej Sultan Abdul Hamid di Kedah.” – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen