Bersih bidas SPR gagal siasat dakwaan 7,000 pengundi baru Jamal Yunos


Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos mendakwa memperolehi 7,000 pengundi baru luar untuk mengundi di Sekinchan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

PEMERHATI pilihan raya Bersih 2.0 mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal bertindak terhadap manipulasi senarai pemilih, berikutan dakwaan ketua pergerakan baju merah, Jamal Md Yunus yang beliau mempunyai 7,000 pengundi baru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Bersih berkata SPR bersekongkol dengan ahli politik yang “menipu” untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Selagi SPR terus gagal melindungi hak demokratik rakyat bagi pilihan raya yang adil, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat adalah mereka bekerjasama dengan pihak tidak bertanggungjawab untuk membantu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun hari pembuangan undi belum berlaku,” kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal, pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar, memberitahu mesyuarat Pemuda Umno Subang pada malam Ahad yang beliau berusaha membawa pengundi ke kawasan kecil dan menamakan Sekinchan di Selangor, di mana beliau mengakui mempunyai 7,000 pengundi baru.

“Kita susun (dan) rangka balik supaya DUN (Subang) kita tambah pengundi, kita pindahkan pengundi dengan apa cara pun walau melibatkan kos berjuta ringgit,” katanya.

Bersih hari ini menuntut agar SPR mengambil langkah segera bagi menghentikan manipulasi terhadap senarai pemilih.

“Sekarang, para pemimpin politik boleh secara terbuka mengakui menipu bagi memenangi pilihan raya tanpa sebarang respons daripada SPR,” kata gabungan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Dalam kes Sekinchan, Bersih berkata wakil rakyat Ng Sued Lim memfailkan lebih 1,400 bantahan kepada Draf Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Pertama 2017, mengenai peralihan “pengundi hantu” ke kawasannya.

“Berdasarkan keterukan dan skala penipuan itu, SPR mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menyiasat semua gerakan pengundi yang mencurigakan, seperti diperuntukkan dalam Seksyen 13 (2) Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Polis juga mesti menyiasat percubaan ini untuk menjatuhkan proses demokrasi dan merosakkan pilihan raya kita.

“Bagaimanapun, daripada bertindak ke atas bukti itu, SPR membantu menyembunyikan kesalahan ini dengan enggan memberikan salinan draf senarai pemilih dengan maklumat lengkap serta mengabaikan permintaan NGO dan parti politik untuk bertemu dan membincangkan isu ini,” kata Bersih.

Bersih sejak sekian lama menentang isu “pengundi hantu”, dan kali terakhir mengemukakan memorandum kepada SPR dua bulan lalu mengenai perkara itu.

“Perjuangan untuk membersihkan daftar pemilih sudah berjalan selama lebih sedekad. Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja menemui bukti jelas yang daftar pemilih dimanipulasi bagi kelebihan pihak tertentu. Ratusan ribu rakyat Malaysia berhimpun di jalanan berhubung isu ini,” kata Bersih, merujuk perhimpunan raksasa yang diadakan di Kuala Lumpur sejak 2007 bagi membantah penipuan dalam pilihan raya. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen