Jangan timbulkan krisis persepsi terhadap perundangan syariah


PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) meminta pihak-pihak yang faham dengan undang-undang tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan menimbulkan krisis persepsi terhadap perundangan syariah di negara ini.

Adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak berpegang kepada kenyataan apabila ada pihak menyamakan hukuman sebatan syariah dengan hukuman sebatan sivil.

PGSM menegaskan bahawa hukuman sebatan syariah ternyata sama sekali berbeza dengan hukuman sebat di mahkamah sivil. Hukuman sebat di mahkamah syariah adalah amat ringan, tidak menyakitkan apatah lagi untuk melukakan pesalah.

Hukuman sebat oleh Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah walaupun matlamatnya sama iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah, namun ia mempunyai perbezaan yang ketara khususnya dalam kaedah pelaksanaannya.

Sebatan syariah hanyalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah tanpa mendatangkan kecederaan parah.

Antara ciri-ciri perbezaan sebatan syariah dan sivil amat berbeza sebagaimana berikut :

Saiz rotan - Bagi pesalah jenayah sivil, panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara bagi pesalah jenayah syariah, ukuran dan saiz rotan dinyatakan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah iaitu panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

Bahagian anggota yang disebat - Bagi pesalah jenayah sivil, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian, iaitu sebatan tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

Cara sebatan - bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan kadar pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit pesalah, berbeza dengan sebatan sivil yang boleh sehingga melukakan.

Kedudukan dan pakaian semasa disebat - Bagi pesalah jenayah sivil, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan dalam keadaan duduk dan kedua-duanya memakai pakaian menutup aurat. Bagi pesalah wanita hamil, hukuman akan ditangguhkan sehingga sekurang-klurangnya dua bulan selepas melahirkan anak.

Maka adalah tidak adil kesan ketidakadilan dan kekejaman hukuman sebat di mahkamah sivil dikaitkan dengan kaedah sebatan syariah yang jarak bezanya lebih jauh dari timur dan barat.

Sekiranya ada pihak yang tidak berpuashati dengan hukuman sebat selepas Mahkamah Syariah di Terengganu menjatuhkan hukuman terhadap dua wanita sebanyak enam rotan dan RM3,300 denda kerana musahaqah, atau hubungan sejenis, maka pihak berkenaan boleh membuat semakan atau rayuan melalui prosedur yang betul, iaitu disemak atau dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi. Bukannya mengaitkan hukuman tersebut dengan sebatan sivil yang kejam dan keras, atau cuba menimbulkan krisis persepsi di kalangan masyarakat. – 29 Ogos, 2018.

*Musa Awang adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen