BADAN Peguam Malaysia menggesa moratorium bagi hukuman sebat selepas Mahkamah Syariah di Terengganu menjatuhkan hukuman terhadap dua wanita sebanyak enam rotan dan RM3,300 denda kerana musahaqah, atau hubungan sejenis.
Kumpulan peguam menyifatkan hukuman itu “keras dan kejam” yang menyebabkan kesan psikologi berbahaya dan berlanjutan, serta “tidak mempunyai tempat dalam masyarakat moden dan ihsan seperti kita”.
“Di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, hukuman sebat merupakan satu bentuk penyeksaan,” kata presidennya, George Varughese dalam satu kenyataan hari ini.
“Terdapat bukti empirikal menunjukkan ia gagal sebagai hukuman balas dan pencegahan. Penghukuman sifat ini mesti dimansuhkan. “
Kumpulan itu menyeru kerajaan Terengganu menangguhkan hukuman sebat kedua-dua wanita tersebut dan untuk rayuan.
Ia juga menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mengenakan moratorium segera terhadap semua bentuk hukuman penderaan dan memansuhkan peruntukan hukuman sedemikian dalam semua undang-undang.
Ia juga menggesa kerajaan persekutuan menyetujui konvensyen menentang penyeksaan dan hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAT) seperti yang dijanjikan, dalam satu langkah ke arah penghapusan rotan atau sebatan sebagai satu bentuk hukuman bagi semua kesalahan.
“Adalah penting kerajaan persekutuan dan negeri mengambil langkah perundangan dan pentadbiran yang perlu untuk memastikan tiada seorang pun di negara ini dikenakan apa-apa bentuk penyeksaan atau layanan atau hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau penghinaan yang lain,” kata Varughese. – 29 Ogos, 2018.
Komen