Kesinambungan atau memperbaharui budaya politik Melayu?


Awang Azman Awang Pawi

SIKAP tradisional dalam politik Melayu tidak lari daripada pengalaman sosio politik masyarakat itu sendiri sejak sebelum dijajah kolonial sehingga proses perubahan berlaku pada era pasca kolonial. Ia sebenarnya satu proses kesinambungan budaya sosio politik lama dan diperbaharui sesuai dengan proses yang berlaku dari masa ke masa.

Ketika era tradisi, orang Melayu dilatih taat kepada pemerintah dalam konteks tradisional dan pemimpin dalam konteks umum. Ini mewujudkan situasi sosial dan budaya dalam masyarakat Melayu yang berkesinambungan hingga kini.

Pemerintah memberikan perlindungan dan menjaga kepentingan yang diperintah manakala yang diperintah melahirkan taat setia tanpa berbelah bahagi.

Teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah ialah sumber terbaik dalam menggali sikap untuk memahami situasi sosial dan budaya masyarakat Melayu tradisi ketika itu.

Namun selepas kedatangan kolonial, pihak kolonial memperkenalkan unsur yang tidak dapat dikawal oleh pemerintah feudal itu sendiri.  Unsur ini termasuklah dasar pengambilan imigran hinggalah membawa kemasukan Sabah dan Sarawak membentuk sebuah persekutuan.  

Inilah yang membawa konsep Bumiputera Sabah dan Sarawak, Bumiputera Sabah Sarawak dan Orang Islam bukan Melayu. Hal ini menyebabkan kesinambungan budaya politik Melayu agak terhambat dan perlahan akibat daripada bawaan politik kolonial.

Yang berlaku akibat daripada tindakan kolonial ini ialah suasana yang dikenali sebagai memperbaharui tradisi apabila sistem pemerintahan tradisional yang berpusat pada kuasa Raja kini berubah menjadi monarki Melayu mengikut gaya sistem monarki Inggeris. Ia disesuaikan mengikut budaya Melayu setempat iaitu mengekalkan Raja-raja di negeri-negeri Melayu.

Kesemua masyarakat yang baru hadir terangkum di bawah struktur pemerintahan Imperial. Monarki Inggeris pula menjadi ketua empayar komanwel yang pernah  menguasai satu perempat dunia menjadi ratu kepada segala negara yang dijajah.

Simbol budaya

Apa pun tradisi yang ada atau didakwa sudah lama sebenarnya telah “dicipta” lama. Misalnya, konsep bangsa dengan nasionalisme ialah situasi yang disesuaikan dengan semangat cinta akan tanah air. Begitu juga dengan konsep negara bangsa yang agak baharu dan disesuaikan dengan konsep-konsep tradisi masyarakat. Malah simbol-simbol nasional juga dicipta dalam konteks antropologi budaya.

Dalam konteks budaya, kelompok manusia itu sendiri yang membentuk budaya melalui tingkah laku harian yang berulang-ulang dan manipulasi simbol konvensional untuk mencipta makna baru. Misalnya tepak sireh dijadikan simbol budaya baru dan dikaitkan dengan kesantunan nilai dalam budaya Melayu.

Sebelum ini tepak sireh hanya dijadikan alat harian untuk aktiviti santai. Jadi, budaya berkembang hasil daripada interaksi dalam dunia sosial maka berlakulah pembaharuan dan perubahan makna, kawalan, inovasi dalam konteks situasi yang berlaku dalam masyarakat.

Perubahan yang membawa kesinambungan tersebut tidaklah terlalu drastik dan ini dikaitkan dengan struktur dalam politik tradisi itu sendiri.

Namun apabila di peringkat minda Melayu yang berterusan dalam mengaitkan segala simbol perlakuan kelompok mereka, ditambah lagi dengan mitos dan streteotaip tertentu sentiasa ditiupkan ke psiki Melayu.

Justeru, ia menjadi imej politik semasa dan autoriti dalam budaya politik itu sendiri khususnya sudah menjadi unsur nilai-nilai dan norma Melayu yang memberikan kesan kepada tingkah laku politik.

Ungkapan “tak Melayu hilang di dunia” misalnya selalu disebut-sebut dalam perhimpunan politik kononnya kata-kata daripada Hang Tuah. Namun tidak ditemui pula kata-kata tersebut dalam Hikayat Hang Tuah!

Pola tingkah laku politik menentukan kesinambungan budaya politik termasuklah ritual-ritual politik seperti menghunus keris sebagai lambang perjuangan orang Melayu bertukar menjadi perjuangan politik orang Melayu. Tabiat-tabiat politik seperti berdemonstrasi untuk membantah sesuatu isu yang dilihat bertentangan dengan budaya Melayu adalah satu bentuk untuk meneruskan kesinambungan budaya politik Melayu.  Menamakan bendera Umno sebagai Sang Saka Bangsa adalah salah satu untuk menyerlahkan tingkah laku politik.

Kesediaan Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Anwar Ibrahim untuk memastikan Putrajaya ditawan dapat ditafsir sebagai pola tingkah laku politik untuk memastikan budaya politik Melayu dapat diteruskan dengan usaha untuk memperbaharui budaya politik Melayu, dengan melupakan segala sengketa yang berlaku sesama mereka hampir 20 tahun.

Penglibatan pada tahap institusi terpancar pada unsur interaksi sejarah, budaya dan sosial khususnya dalam hubungan antara konsep negara dan masyarakat, yang memperlihatkan elemen penting dalam memahami hubungan konsep budaya politik dan negara.

Inilah yang dapat dilihat dalam konteks Raja Berpelembagaan apabila negara memberikan pengikitirafan terhadap kewujudan institusi istana, Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Majlis-Majlis Raja-Raja.

Institusi Majlis Raja-Raja terus dihormati dan apabila isu 1MDB hangat diperbincangkan. Majlis tersebut turut meminta agar isu itu diselesaikan dengan cepat. Ini dapat ditafsirkan kepada pelbagai maksud termasuk agar orang Melayu berbuat sesuatu untuk menyelamatkan negara.   

Inilah dimaksudkan oleh Geertz, ahli antropologis terkenal dengan teori antropologi simbolik, bahawa yang penting bukanlah mekanik kuasa tetapi simbol kuasa, iaitu bukannya bagaimana kuasa itu berlaku, tetapi bagaimana kuasa itu dibayangkan.

Aspek simbol kuasalah yang menyebabkan orang Melayu menyokong institusi Raja-Raja Melayu sebagai simbol kekuasaan Melayu.

Namun asakan teknologi dan dunia tanpa sempadan membawa kepada kewujudan media baru yang menyebabkan berlakunya jurang generasi dan perubahan nilai. Nilai yang berubah seterusnya secara tidak langsung memperbaharui konsep budaya politik baru yang kurang meletakkan unsur-unsur tradisi sebagai pusat perhatian.

Namun aspek yang mengekalkan dan memperbaharui budaya politik tradisi melayu ialah faktor kewujudan kelas menengah, rendah dan kelas pekerja yang memainkan peranan dalam sebarang perubahan sosial dan politik negara. Namun, di peringkat negara masih mempertahankan institusi yang menjadi sumber kuasa dan simbol budaya orang Melayu.

Selagi konsep negara terus mempertahankan institusi yang menjadi simbol orang Melayu selagi itulah unsur budaya politik Melayu masih wujud dan sentiasa diperbaharui berdasarkan sejarah zaman tersebut. Inilah faktor struktural yang mempengaruhi budaya politik tradisi dan ini terus memberikan kesedaran dan tingkah laku semasa dalam dunia politik Melayu. – 26 Ogos, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen