Undi MCA untuk pembangkang yang kuat, kata Wee


Gan Pei Ling

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong berkata perlu ada pembangkang yang kuat atau sistem dua parti bagi memastikan demokrasi sihat berfungsi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2018.

BALAKONG perlu undi MCA pada pilihan raya kecil (PRK) nanti supaya ada pembangkang yang memantau kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan berkesan, kata Timbalan Presiden parti, Wee Ka Siong.

“Kita tahu mengenai perlunya ada parti pemerintah dan parti pembangkang dalam demokrasi yang sihat. Sekarang ini hanya ada lima wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Perlu ada pembangkang yang kuat atau sistem dua parti supaya ia berfungsi,” Wee memberitahu puluhan penduduk pada ceramah di Sungai Chua, Kajang lewat malam tadi.

Hampir 30 penyokong MCA sanggup berhujan untuk mendengar ucapan Wee dan pemimpin parti lain seperti Gan Ping Sieu, sementara yang lain lebih selesa mendengar dari gerai mamak dan kedai makan berhampiran.

Sejak PH berjaya merampas Selangor dari Barisan Nasional (BN) pada 2008, bilangan wakil rakyat dalam DUN berkurang daripada 20 pada 2008 kepada 12 pada 2013 dan lima tahun ini. Kesemua wakil rakyat pembangkang di Selangor sekarang adalah dari Umno.

Kata Wee, calon MCA, Tan Chee Teong seorang yang berani meskipun baru pertama kali bertanding.

“Beliau akan jadi wakil pembangkang yang akan ditakuti PH kerana beliau akan jadi pembangkang yang membina. Beri beliau peluang untuk memantau kerajaan Selangor, bertanya tentang perjanjian air dan bilakah empat tol di Balakong akan dimansuh,” kata Wee, satu-satunya ahli Parlimen MCA selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

MCA cuba memujuk pengundi Balakong supaya menghantar seorang lagi wakil rakyat ke dalam DUN Selangor dengan mengundi parti itu pada PRK yang akan diadakan pada 8 September.

Bagaimanapun, veteran DAP Lim Kit Siang menyelar Wee dengan berkata MCA tidak layak untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan PH sehinggalah ia meminta maaf kerana mengunci mulut mengenai skandal rasuah BN. – 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen