MCA juga sebahagian daripada kerajaan korup, kata Kit Siang


Yeoh Cheong Ee

MCA tiada hak untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan sehinggalah mereka meminta maaf segala kesilapan BN dahulu, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2018.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA tiada hak untuk menjadi pihak yang melakukan semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehinggalah mereka meminta maaf segala kesilapan BN dahulu, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata MCA adalah sebahagian daripada kerajaan BN yang menyalahguna kuasa dan terlibat rasuah.

“Mereka tak boleh mainkan peranan (semak dan imbang), kerana mereka terlibat (sebahagian daripada kesalahan rasuah kerajaan dahulu),” Lim memberitahu pemberita ketika mengiringi calon Balakong PH, Wong Siew Ki menemui pengundi di kampung baru Balakong di Selangor.

Kempen MCA dalam pilihan raya kecil (PRK) itu bertujuan untuk menjadi pihak yang melakukan semak dan imbang kepada kerajaan PH.

Lim berkata, untuk membuka lembaran baru, parti mewakili masyarakat Cina itu harus mengutuk salah laku Umno dan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Minta maaf bagi kesalahan yang mereka lakukan dahulu, bersuara menentang 1MDB, BN dan kepimpinan Najib,” katanya.

Lim KIt Siang ketika mengiringi calon Balakong PH, Wong Siew Ki menemui pengundi di kampung baru Balakong di Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2018.

Menurut Lim lagi, PH amat fokus membasmi budaya rasuah yang dipupuk BN dalam perkhidmatan awam sejak enam dekad lalu dan itu lebih penting berbanding hasrat MCA untuk menjadi pihak yang menjalankan semak dan imbang.

Sepanjang kempen PRK Balakong, MCA meminta pengundi menambah wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan mengkritik PH kerana gagal menunaikan kesemua janji 100 hari pentadbirannnya.

Terdahulu, Wong menepis dakwaan MCA dan berkata keempat-empat parti komponen dalam PH telah sedia melakukan semak dan imbang antara satu sama lain secara sihat.

“Saya rasa mereka faham bagaimana PH berfungsi. Ahi-ahli Parlimen kami kritik sesama sendiri, tiada parti yang ‘superior’. Semua sama.

“Siapa saja yang salah akan ditegur. Kami bukan macam BN (Umno jadi ketua),” kata Wong pada ceramah sulungnya di Taman Sri Bahagia, Cheras Batu 9, Sabtu lepas. – 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen