Saya tak bodoh untuk kekal dalam MCA, kata calon PRK Balakong


Gan Pei Ling

Calon MCA bagi PRK Balakong, Tan Chee Teong berkata beliau masih bersama parti komponen BN itu kerana mengakui sumbangan MCA pada masa lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2018.

KEBANYAKAN golongan profesional dan belia Cina meninggalkan MCA untuk memilih DAP sejak 2008, tetapi Tan Chee Teong berkata beliau terus kekal bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bukan kerana jahil, tetapi kerana keyakinannya.

“Saya bukan bodoh. Saya gila. Orang bodoh tidak tahu bezakan antara betul dan salah. Orang gila ialah gila kerana berpegang kepada sesuatu, kegilaan yang munasabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jika kerajaan buat sesuatu yang betul, saya akan puji. Jika ia buat salah, saya akan suarakan dan bantah dalam dewan undangan negeri,” kata ahli perniagaan itu yang juga calon MCA untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Tidak lama selepas Tan diumumkan sebagai calon parti itu pada Selasa, pengguna Facebook menyerangnya kerana mewakili MCA.

Bagaimanapun, calon berusia 40 tahun itu tekad, berkata beliau menyokong partinya yang hanya menang satu kerusi Parlimen pada PRU14, 9 Mei lalu, atas sumbangan yang pernah diberikan selama ini.

“Saya rasa tidak salah mewakili MCA. Saya tidak fikir MCA salah.

“Kalau ada salah pun, itu kesalahan peribadi. Saya masih bersama MCA kerana saya akui sumbangannya pada masa lalu.”

Semalam, beliau secara rasmi dinamakan sebagai calon parti itu pada PRK yang akan diadakan pada 8 September.

Tan berkata MCA membela orang Cina sejak penubuhannya pada 1949, menambah parti itu sentiasa memperjuangkan kepelbagaian dan kesederhanaan dalam kerajaan.

“Saya akui pembaharuan MCA. Umur saya 40 tahun ini, dan saya masih ada 20 tahun lagi untuk bantu MCA berubah langkah demi langkah, untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Bila saya 60 tahun, saya akan bersara dan biar orang lain ambil alih.”

Tan mengetuai Persatuan Penduduk Cheras Perdana dan Pemuda MCA Batu 11 Cheras. Beliau juga berkhidmat sebagai jurulatih bola keranjang secara sukarela di SMK Cheras Perdana.

Beliau berkata bekas Adun Balakong, mendiang Eddie Ng Tien Chee, daripada DAP pernah mengajaknya melompat parti dan berkata Tan lebih sesuai bersama DAP.

Ng maut selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada 20 Julai. Beliau menang kerusi DUN Balakong dengan majoriti 35,538 undi pada PRU14.

Balakong mempunyai 62,219 pengundi, terdiri daripada 61% Cina, Melayu (30%) dan Indian (8%).

Pengguna media sosial juga menyerang kelayakan pendidikan Tan, berbanding pesaingnya daripada Pakatan Harapan, Wong Siew Ki (DAP).

Wong mempunyai ijazah sarjana dalam bidang kesusasteraan Cina daripada Universiti Putra Malaysia, sementara Tan berpendidikan sekolah vernakular di Kajang dan pemegang diploma daripada Universiti Help.

“Kelayakan pendidikan yang rendah tidak semestinya bermakna keupayaan rendah. Jika saya boleh jadi wakil rakyat dengan hanya Sijil Pelajaran Malaysia, saya percaya ia akan jadi pendorong kepada orang lain untuk menyertai politik.

“Bukankah bagus untuk beri impian kepada orang lain?.” – 19 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen