MCA berdepan laluan sukar di Balakong 


Gan Pei Ling

MCA berkemungkinan akan memfokuskan kepada janji 100 hari pertama Pakatan Harapan di Putrajaya pada kempen di PRK Balakong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018

MCA bakal berdepan laluan sukar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dengan berikutan populariti penyandangnya sebelum ini dan partinya DAP, serta kekurangan dalam menangani isu tempatan. 

Ketua Pemuda MCA Cheras Batu 11 dan ahli perniagaan Tan Chee Tiong akan berdepan dengan Ketua Pemuda Sosialis DAP Serdang yang juga ahi Majlis Subang Jaya Wong Siew Ki.

Pilihan raya berkenaan juga menjadi medan pertama bagi parti Cina ahli Barisan Nasional itu akan menggunakan logonya sendiri - bintang kuning berbucu 14 dengan berlatarbelakangkan warna biru - yang agak kurang dikenali berbanding logo dacing.

PH juga akan menggunakan logo merahnya sendiri - yang disifatkan penyokongnya seperti lambang anak panah Star Trek atau Avengers - buat pertama kalinya pada pilihan raya kecil kali ini.

Dengan status partinya sebagai pembangkang, MCA berkemungkinan akan memfokuskan kepada janji 100 hari pertama Pakatan Harapan di Putrajaya. 

DAP, yang merupakan salah satu rakan kongsi dalam kerajaan PH dan juga musuh tradisi MCA, menguasai pelbagai janji kepada masyarakat Cina. 

PH berdepan maslaah dalam memenuhi janji mereka, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kebebasan sekolah menengah Cina.

Namun, kebanyakan pengundi Cina, yang terdiri daripada 61% daripada daftar pemilih, berpuas hati dengan prestasi PH di Selangor dan Pulau Pinang, kata Pengarah Pusat Pengajian Am Kolej Universiti Selatan Dr Phoon Wing Keong. 

Kajian Merdeka Centre baru-baru ini terhadap 100 hari PH juga menunjukkan 79% responden Cina berpuas hati dengan prestasi PH. 

“Sudah pasti akan ada undi simpati kepada DAP berikutan bekas Adun (Eddie Ng Tien Chee) memiliki trek rekod perkhidmatan yang baik,” kata Phoon kepada The Malaysian Insight. 

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai. Penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan adalah hari ini, dengan 21 hari tempoh berkempen. Hari mengundi diadakan pada 8 September. 

“Pilihan raya ini merupakan ujian bagi kelulusan oleh Cina kelas pertengahan terhadap kerajaan baharu. DAP diberikan jawatan menteri kewangan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan.
 
“Namn masih ada lagi janji 100 hari yang masih belum ditunaikan. Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching memberi jaminan kepada pengundi Cina bahawa tiada masalah untuk mengiktiraf UEC sekiranya PH memenangi Putrajaya namun kini ia dilihat bukan sesuatu yang mudah,” kata Phoon. 

PH memenuhi janji 100 harinya untuk menyemak semula projek mega kos tinggi dan menyelesaikan skandal kewangan BN seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Pakatan itu bagaimanapun menangguhkan kenaikan gaji minimum dan bayaran semula pinjaman kepada graduan yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan- satu langkah yang memberi kelebihan kepada masyarakat kelas pertengahan di Balakong. 

Ikatan istimewa 

Phoon berkata pengundi Cina mungkin mempunyai ikatan istimewa kepada logo roket DAP, simbol penentangan terhadap penyelewengan BN, namun tidak kepada logo bintang MCA. 

“MCA perlu menjelaskan kepada kedua-dua pengundi Cina dan Melayu mengapa parti itu tidak meninggalkan BN sekiranya enggan menggunaan logo BN?” katanya.

Keputusan MCA untuk mnggunakan logo sendiri mungkin akan memberi kesan kepada pengundi Melayu, yang membentuk satu pertiga pengundi di Balakong. Penyokong Umno, khususnya, boleh mentafsirkan langkah itu sebagai pengkhianatan kepada BN. 

Penduduk tempatan dari kampung baru Balakong memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak akan menukar kesetiaan politik mereka kepada MCA, walaupun parti itu menggugurkan logo BN. 

Peniaga gerai dari kampung baru Balakong, Tan berkata, DAP sudah mendapat penghormatan daripada penduduk tempatan kerana menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan sejak sekian lama beberapa tahun lalu dan wakil rakyat sebelum ini amat peka dengan aduan rakyat. 

Penduduk lain yang ditemui turut menjangkakan DAP akan menang mudah pada 8 September ini. 

Daripada 62,219 pengundi di Balakong, 61% adalah Cina, kira-kira satu pertiga (30%) adalah Melayu dan India (9%).

Sebelum 2008, pengundi Balakong menyokong MCA. 

Parti etnik Cina itu sering memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 877 hingga 4,168 undi pada pilihan raya umum antara tahun 1995 dan 2004. 

Balakong merupakan sebahagian daripada kerusi Parlimen Serdang, yang dinamakan Bangi pada Pilihan Raya Umum ke 14. 

Bagaimanapun, kerusi berkenaan jatuh kepada DAP ketika tsunami politik pada 2008. 

Sejak itu, majoriti DAP meningkat secara berterusan daripada 4,795 undi pada 2008 kepada 13,542 undi pada 2013, dan peningkatan hampir tiga kali ganda kepada 35,538 pada pilihan raya 9 Mei. 

Pada PRU14 DAP menyapu bersih 17 daerah mengundi Balakong. 

Sembilan daripada 10 pengundi di kampung baru Cina Balakong dan Sungai Chua mengundi PH. Walaupun di kawasan majoriti Melayu seperti Desa Baiduri, Bandar Tun Hussein Onn dan Simpang Balak, lebih 50% pengundi memilih PH. 

PH mendapat 41,768 undi, berbanding PAS (6,230 undi) dan MCA (5,874 undi).

Pada Khamis, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyokong usaha MCA untuk menawan kerusi tersebut. 

“InsyaAllah, ya kita akan arahkan penyokong dan pengundi di Balakong untuk undi MCA. Kerana ia atas semangat pembangkang.” – 18 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen