Zunar kembali ke Pulau Pinang dengan pameran 'Ketawa Pink-Pink'


Diyana Ibrahim

Pameran jalanan itu bertajuk Gelak-Gelak Pink bertujuan menyedarkan rakyat tentang korupsi yang melanda negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2017.

KARTUNIS satira politik terkenal Malaysia, Zunar, akan mengadakan pameran “Berlian Merah Jambu” di Pulau Pinang, Ahad ini.

Berlian merah jambu menjadi tumpuan di Malaysia dan seluruh dunia selepas tuntutan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyatakan lebih daripada US$30 juta dana yang dicuri daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk membeli barang kemas isteri ‘Malaysian Official No 1’ MO1 termasuk set rantai leher berlian merah jambu 22 karat.

Pameran Ahad ini berlaku selepas hampir setahun pameran terakhir Zunar di Pulau Pinang diserang penyagak dan karya seninya dirampas polis.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata pamerannya itu akan diadakan di Lebuh Pantai bermula jam 8 pagi sehingga tengahari.

Kartunis satira politik itu berkata, beliau sengaja menggunakan tajuk pamerannya “Gelak-Gelak Pink” yang mana perkataan tersebut lebih mudah difahami rakyat.

“Saya guna tajuk tersebut sebab ia lebih mesra rakyat dan berkait dengan isu semasa, jadi rakyat akan lebih mudah faham. Dan pameran kali ini adalah yang kali pertama saya guna konsep jalanan sebab itu saya pilih betul di tepi jalan.

“Sebab kita tak boleh jauh daripada sasaran orang ramai yang lalu lalang tak semua orang akan faham. Tapi kalau kita guna pink orang akan lebih faham kerana ia berkait dengan isu semasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Namun beliau menafikan pameran lukisannya di Pulau Pinang mempunyai kaitan dengan politik, menurutnya pameran itu berkisar kepada kesan rasuah seperti isu DoJ dan cincin berlian yang memberi kesan kepada orang ramai.

Tahun lepas, penerima Anugerah Keamanan Bangsa-Bangsa Bersatu itu didesak untuk membatalkan pamerannya di tingkat 3 Komtar, di Pulau Pinang, tetapi beliau tidak tunduk kepada tekanan. Akibatnya pada 26 November, sekumpulan pemuda daripada Umno Pulau Pinang menggangu dan mengasari kartunis itu di pamerannya.

Zunar ditahan polis dan karyanya dirampas keesokan harinya.

Mengulas kejadian tersebut, Zunar mengakui tetap ada perasaan takut namun ia tidak menghalang dirinya untuk mengadakan pameran lukisannya.

“Kes tahun lepas kita memang tak boleh buat apa sebab pada hari itu saya diserang sekumpulan samseng Pemuda Umno Pulau Pinang di mana tindakan itu kita anggap sangat tidak bertamadun, tetapi bukan kerana orang itu saya tidak boleh buat kerja, ia tidak patut dijadikan halangan kerana ia tanggungjawab saya sebagai kartunis.

“Walau masa itu saya ditangkap dan 40 lukisan saya dirampas tapi sama masih tidak boleh jadikan perkara itu sebagai halangan untuk saya buat kerja,” katanya.

Susulan lukisannya dirampas polis, Zunar kerugian kira-kira RM40-50 ribu.

Tambahnya, bagi pameran kali ini beliau membawa sebanyak 50 buah lukisannya dan hanya memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya tak perlu pun mohon permit (polis) kerana kita anggap ia program jalanan terbuka kepada penggiat seni jadi kita anggap acara itu dibenarkan. Lagipun tidak ada keperluan untuk buat begitu, sebab itu kita pilih Lebuh Pantai samalah macam konsep buku jalanan secara umumnya saya tak perlu minta permit,” katanya yang berharap pamerannya kali ini dapat menarik golongan baru.

Katanya konsep pameran jalanan digunakan untuk menjadikannya satu saluran maklumat kepada rakyat tentang isu semasa terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Selalu saya dapati bila saya buat pameran cuma tertumpu golongan yang sudah tahu tentang karya saya, ertinya mereka ini peminat atau penyokong sebab kebanyakan mereka memang baca buku saya.

“Tapi kali ini saya nak cari golongan baru yang tak pernah faham atau tahu kartun saya , ia sebagai bentuk informasi tentang apa yang berlaku sebab itu saya pilih konsep jalanan.” – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen