Ahli kata kempen 'gopoh' Rafizi buat PKR berpecah-belah


Mohd Farhan Darwis

Kempen pasukan Reformasi 20 tahun yang diketuai Rafizi Ramli disifatkan ramai ahli PKR terlalu agresif sehingga memecah belahkan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

KALANGAN ahli PKR bimbang kempen oleh calon timbalan presiden Rafizi Ramli mewujudkan perpecahan dalam parti.

Tinjauan The Malaysian Insight dalam kalangan ahli semasa acara kempen pasukan Reformasi 20 Tahun di tiga negeri – Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka – mendapati kebanyakan ahli berkongsi pendapat serupa.

“Ahli parti pecah teruk,” kata seorang calon exco sayap Pemuda PKR dari Johor ketika ditemui The Malaysian Insight di program Jumaat lalu.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, perbezaan sokongan itu dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan ahli di Johor.

“Di Johor kita lihat masing-masing ada pilihan mereka, setiap ahli ada pendapat mereka bagi dua calon itu,” kata lagi.

Sementara itu di Negeri Sembilan, seorang calon ahli jawatankuasa cabang, Omar Jamal, 54, berkata perpecahan itu juga dapat dilihat dengan jelas di sana.

“Semua tempat, semua negeri berpecah-pecah, ikut pandai-pandai masing-masing berkempen, semua ada peluang, bergantung kepada strategi masing-masing,” kata calon cabang Rembau itu lagi.

Beliau juga melihat pasukan penyokong Rafizi lebih rapat dengan ahli-ahli akar umbi berbanding pasukan Azmin yang menurutnya hanya memberikan tumpuan kepada pemimpin tertentu.

Kempen Azmin Ali dalam pemilihan PKR kali ini dilihat akar umbi mirip kempen pemilihan Umno, mempengaruhi ketua yang akan memujuk anak buah memberikan undi kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Rafizi kawal akar umbi, Azmin pegang kepala

Usaha dijalankan pasukan Rafizi untuk mendekati ahli juga lebih menyeluruh di peringkat akar umbi, katanya.

“Lawan dia pula pegang bahagian tertentu. Rafizi dekat dengan kelas bawahan, lawan dia pula tidak main macam itu, ada protokol sikit.

“Rafizi bercampur dengan semua golongan,” kata Omar lagi.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Negeri Sembilan, Yusof Tapar, 70, berkata kem Azmin mengamalkan gaya “pegang kepala” iaitu dengan mendapatkan sokongan pemipin tertentu bagi meraih sokongan anak buah.

Kaedah ini sama dengan cara kempen Umno yang pernah disertainya ketika zaman 80-an, kata Yusof yang mempertahkan jawatan ketua cabang Rembau kali ini.

“Kumpulan itu orang banyak duit, dia pegang kepala-kepala, macam Umno. Saya tidak boleh terima. Saya nak orang yang bekerja.

“Kalau Azmin punya orang memang tidak berani jumpa saya, bukan saya tidak suka tapi kita ada pendirian,” katanya lagi yang bakal berhadapan pertandingan lima penjuru merebut jawatan.

Mahu kecap ‘kemanisan perjuangan’

Yusof juga berharap pasukannya bersama Rafizi itu akan dapat memenangi jawatan dalam pemilihan demi merasai “kemanisan perjuangan” selepas 20 tahun bersama parti.

“Sokongan akar umbi Rafizi kuat, kita dah menang nak rasa manisnya juga, bukan kita nak kaut untung masuk poket sendiri.

“Pasukan Rafizi tak fikir poket mereka pun, 20 tahun berjuang sekarang kita nak rasa seronok itu,” katanya yang menjadi ketua cabang sejak dua penggal lalu.

Di Melaka pula, seorang ahli PKR cabang Hang Tuah Jaya berkata perpecahan yang berlaku ketika pemilihan itu tidaklah begitu serius.

Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, tidak semua calon dalam kem Rafizi atau Azmin Ali akan memang pemilihan tersebut.

Calon yang menang dan tewas dalam pemilihan itu juga perlu bekerjasama demi kelangsungan parti, katanya.

“Pecah memang pecah, tapi tak semua calon satu pasukan akan menang semua jawatan. Bila habis pemilihan suka tak suka mereka kena kerja sama-sama.

“Kalau semua calon dari satu pasukan sahaja yang menang pun tak boleh, kena ada kepelbagaian, baru seimbang,” katanya.

Ahli PKR mahukan pemilihan parti tahun ini tidak sampai memecahkan parti yang diasaskan Anwar Ibrahim selepas dipecat daripada Umno dan kerajaan pada 1998 itu. Mereka mahu kecap nikmat kemenangan setelah 20 tahun berjuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Kempen gopoh, cetus kebencian

Namun tidak kurang juga yang melihat jelajah Rafizi di selatan tanah air, hujung minggu lalu sebagai kempen negatif sehingga mencetus kebencian di kalangan ahli parti.

“Apabila berucap mereka mula timbul rasa amarah, beremosi, saya terus terang, saya kecewa dengan PKR, sekarang mirip Umno.

“Mereka tidak sedar bila mereka serang peribadi lawan mereka ini yang mencetuskan kebencian,” kata ahli dari Negeri Sembilan yang tidak mahu dinamakan.

Beliau juga yakin Anwar Ibrahim tidak akan meminggirkan mana-mana calon yang bertanding kerana Rafizi dan Azmin mempunyai pengaruh mereka sendiri.

“Mereka lupa, bila berpolitik kita kena ingat prinsip, kita berpolitik mesti berasaskan agama.

“Bila dekat atas pentas berucap mula serang peribadi lawan, saya rasa siapa kalah pun tidak akan disingkirkan. Rafizi ada kelebihan dia. Azmin pun ada kelebihan dan pengaruh dia,” katanya lagi.

“Rafizi ini gopoh, dia bagus, ada idea dan dia kerja dia rajin… tapi dia tidak sabar.”

Dakwaan Abdullah Sani bahawa Azmin Ali menghalang Anwar Ibrahim naik jadi perdana menteri mengecewakan ramai akar umbi, menyifatkannya sebagai terlupa siapa musuh sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Beliau kecewa apabila pasukan Rafizi menyerang Azmin dengan dakwaan bahawa penyandang timbalan presiden itu menyekat usaha Anwar menjadi perdana menteri.

Ia disuarakan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Abdullah Sani yang turut mendakwa Anwar tidak akan berjaya diangkat sebagai perdana menteri sekiranya beliau menjadi timbalan presiden.

Turut menjadi sasaran adalah calon naib presiden Zuraida Kamarudin yang didakwa hanya mementingkan projek tertentu.

Dakwaan itu ditimbulkan calon exco Wanita PKR Faizah Arifin yang juga isteri Abdullah.

Mengulas lanjut, ahli dari Negeri Sembilan itu berkata kem Rafizi lupa diri sehingga menyerang semua pihak dalam kempen pemilihan.

“Musuh kita bukan Azmin, bukan dia musuh sebenar kita, bila berkempen kita lupa… mereka yang dekat atas ini belasah semua, itu yang kecewakan saya.

Calon jawatan parti termasuk Azmin dan Rafizi merebut undi dari sekitar 800,000 ahli yang layak mengundi dalam pemilihan selama tiga minggu bermula pertengahan September depan. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Both are equally good, its just too bad it has to reach this stage of who is who is whose camp drawing a line of division, my take if the power behind the scene didn't give its blessing it won't move to this level.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan