Sub judice alasan elak soalan tentang 1MDB, kata peguam


Bede Hong

Alasan sub judice oleh speaker Pandikar Amin Mulia untuk menghentikan perbincangan yang akan menyebabkan kerajaan nampak teruk, kata peguam Eric Paulsen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2017.

DENGAN menggunakan ‘sub judice’ terhadap perbincangan mengenai 1MDB di Parlimen, speaker Pandikar Amin Mulia menyalahgunakan prosiding undang-undang yang sah untuk membolehkan syarikat pelaburan negara itu terlepas daripada penelitian umum, kata peguam.

Awal hari ini, Pandikar berkata perbincangan perkara berkaitan 1MDB di Parlimen berakhir dengan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang membentangkan laporannya mengenai 1MDB pada April tahun lalu.

Dalam mempertahankan tindakannya menolak lebih 30 soalan wakil rakyat pembangkang, Pandikar berkata perbincangan mengenai tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk menyita aset berkaitan 1MDB adalah ‘sub judice’.

“Speaker bertindak tidak masuk akal. Bagaimana apa yang dibincangkan di Parlimen boleh menjejaskan saman DoJ?,” kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen.

“Sub judice alasan mudah, untuk menghentikan perbincangan yang akan menyebabkan kerajaan nampak teruk.

“Sangat jelas beliau menggunakan segala macam helah untuk menghalang soalan tentang 1MDB ditanya.

“Kalau Pandikar berminat menjelaskan tentang 1MDB, sekurang-kurangnya laporan PAC patut dibahaskan dalam Parlimen. Tapi nampaknya dia tak berminat.”

Peraturan ‘sub judice’ menghalang perbincangan atau penerbitan perkara-perkara yang masih di bawah pertimbangan mahkamah.

Peguam bela dan Peguam cara Mahkamah Tinggi Lim Wei Jiet mengkritik Pandikar kerana menggunakan peraturan ‘sub judice’ ke atas isu berkaitan saman sivil yang difailkan pihak berkuasa asing.

“Sub judice kurang diguna pakai dalam saman sivil.

“Susah untuk dipercayai seorang hakim boleh dipengaruhi faktor-faktor luaran, bukannya bukti yang dikemukakan di mahkamah, dalam mengadili pertikaian.

“Lebih susah lagi (dalam kes ini), mengambil kira isu 1MDB yang mendapat liputan meluas seperti The Wall Street Journal dan The New York Times.

“Perbahasan ahli Parlimen pembangkang di sini langsung tidak menganggu.”

‘Sub judice’ tidak menghalang laporan berita tentang perjalanan prosiding kehakiman selagi media tidak mengambil alih peranan mahkamah dengan membuat keputusan awal sesuatu kes.

Lim berkata, ‘sub judice’ juga bertujuan untuk memelihara kesucian mahkamah dan mengelak organisasi lain “menceroboh” fungsi mahkamah.

Ahli Majlis Peguam Syahredzan Johan berkata, ‘sub judice’ adalah untuk mengelak prosiding mahkamah dipengaruhi atau terjejas berdasarkan apa yang mereka lihat atau dengar di luar mahkamah.

“Di Malaysia kita tidak ada perbicaraan juri, jadi ‘sub judice’ tidak relevan di sini.

“Paling penting, prosiding DoJ berjalan di AS. Jadi, mahkamah AS yang akan menentukan sama ada  sesuatu itu ‘sub judice’, dan bukan speaker di sini.

“Ini satu lagi contoh hebatnya 1MDB dan Jho Low dimana kedua-duanya mendahului demokrasi.”

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom berkata, ‘sub judice’
disalah gunakan oleh Pandikar.

“Jangan beritahu saya setiap soalan yang diutarakan ahli Parlimen pembangkang itu ‘sub judice’.

“Gobind Singh Deo (DAP Puchong) bertanya tentang status siasatan itu. Macamana itu dikatakan ‘sub judice’?

“Itu hanya alasan untuk menghalang segala perbincangan tentang 1MDB.

“Memang jelas Pandikar menggunakan terma perundangan untuk membuat satu ‘cover-up’.” – 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen