Speaker pertahan tindakan tolak soalan berkaitan 1MDB


Diyana Ibrahim

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata beliau perlu mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum membenarkan sesuatu soalan dikemukakan di Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Julai, 2017.

SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia hari ini mempertahankan tindakannya menolak soalan dikemukakan ahli Parlimen pembangkang pada sidang kali ini yang berkaitan 1Malaysia Development (1MDB) kerana katanya ia boleh menyebabkan “sub judice”.

Pandikar berkata beliau bimbang jika kebenaran diberikan terhadap soalan ahli Pembangkang mengenai 1MDB, ia akan menyebabkan perbicaraan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terganggu.

“Speaker kena fikir adakah soalan itu apabila dijawab akan jejas pihak yang nak atau disaman atau akan jejas perbicaraan yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa beliau sengaja menolak lebih 30 soalan berkaitan 1MDB.

Pada masa sama beliau juga tahu alasan mengundang ‘subjudis’ yang digunakannya akan menyebabkan pembangkang menyerang kembali atas alasan ia hanya berlaku di Amerika Syarikat.

Mempertahankan sekali lagi tindakannya, beliau berkata mengikut Peraturan Mesyuarat, Dewan Rakyat tidak pernah menghadkan alasan subjudis itu hanya terpakai di Malaysia.

“Bila saya buat begitu saya digelakkan, mereka kata mana boleh kata sub judice sebab perbicaraan itu di Amerika Syarikat.

“Tapi tengoklah Peraturan Mesyuarat cuma sebut ahli Parlimen tidak boleh bahas apa ada dalam pertimbangan mahkamah tapi tak sebut dalam itu ia cuma dalam Mahkamah Malaysia.

“Dan saya pun boleh guna persoalan yang sama kalau kata ia tidak ada kaitan dengan Malaysia jadi kenapa kena kemukakan soalan mengenai 1MDB sedangkan siasatan mengenainya sudah dimuktamadkan,” katanya.

Katanya, tidak semua soalan yang berkaitan dengan 1MDB ditolak bahkan sebanyak 19 soalan mengenai 1MDB diterima dan tersenarai sepanjang sesi sidang Parlimen bagi penggal kelima kali ini.

“Yang diterima itu tidak perlu ditekankan cuma perbesarkan mana yang ditolak. Bagi saya itu agenda politik, tapi janganlah libatkan saya, macam saya tak buat kerja. Kecil hati kita yang buat kerja ini,” katanya mengakui terganggu dengan provokasi ahli Parlimen pembangkang. – 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen