Dalam 100 hari, Pakatan belajar hakikat lunas janji


Pentadbiran Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari nampaknya berdepan masalah-masalah yang diburukkan dengan kenyataan tergesa-gesa dan cuai pilih perkataan. Mereka perlu berhenti jadi tukang cuci dan beri tumpuan kepada agenda perubahan. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2018.

TIADA sesiapapun menjangkakan pelayaran kerajaan pertama kali Pakatan Harapan (PH) akan jadi mudah dan lancar, walaupun begitu, gelora yang melanda Putrajaya dalam 100 hari gabungan empat parti berkuasa tetap berupaya mengejutkan banyak pihak.

Kejutan ini wajar kalau hendak dibandingkan dengan semboyan kerangkuman dan ketelusan yang dilaungkan mereka ketika jadi pembangkang.

Kepincangan langkah ini adalah pengajaran berharga untuk PH yang masih tercari-cari hala tuju pentadbiran sendiri, pada masa yang sama, gigih menepis serangan bertubi-tubi pentadbir terdahulu Barisan Nasional (BN) yang tersingkir dengan suara rakyat.

Daripada 28 orang menteri dalam Kabinet PH Putrajaya, hanya dua orang yang berpengalaman jadi menteri iaitu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Yang lain adalah generasi pertama menteri persekutuan PH setelah berjaya junjung kuasa, dan kurangnya pengalaman mereka tampak ketara sekali.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran terpaksa memohon maaf walaupun pada awalnya menafikan dan mendakwa kenyataannya disalah tafsir selepas merujuk orang Melayu sebagai “pendatang”.

Sebulan sebelum itu, pada Jun, beliau terpaksa menelan balik kata-katanya mengenai pengharaman tukang masak asing daripada bekerja di Malaysia setelah menerima kecaman penguasaha restoran yang mendakwa mereka berdepan kesukaran menggaji pekerja.

Kemelut pelantikan kakitangan menteri belia dan sukan juga tidak kurang tegangnya, melibatkan Numan Afifi Saadan, aktivis LGBT yang menganjurkan majlis berbuka puasa untuk kumpulan minoriti itu tahun lepas.

Menteri termuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman “mengabaikan” pegawai khasnya itu walaupun nama Numan sudah berada dalam direktori kakitangan menteri, terpampang dalam laman web kementerian.

Numan kemudiannya terpaksa berundur setelah kecaman diterima apabila ada pihak merasakan aktivis LGBT tidak boleh memegang jawatan kerajaan.

Syed Saddiq juga diperlekeh pengguna media sosial kerana kenyataan rasmi kementerian mengenai penyertaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun di Sukan Asia tahun ini. Kenyataan rasmi yang penuh dengan kesilapan tata bahasa dan kesalahan ejaan itu mengundang perlian dan kutukan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga menteri wanita, keluarga dan masyarakat berdepan kecaman banyak pihak kerana kegagalan menangani isu perkahwinan bawah umur dengan bijak dan berhikmah. Ibu reformasi itu kini perlu buktikan agenda perubahan Pakatan Harapan tidak tenggelam dalam kontroversi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

Kesan kenyataan tergesa-gesa atau cuai pilih perkataan dalam isu sensitif juga menguji kerajaan baharu, terbukti dalam kontroversi nikah gadis sunti 11 tahun dan lelaki 41 tahun di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada mulanya berkata perkahwinan itu haram dan tidak sah, kemudiannya dalam kenyataan lain berkata ia sah di bawah undang-undang Islam, selepas itu dalam kenyataan lain berkata lebih banyak bukti diperlukan untuk membantah pernikahan itu.

Semua itu berlaku ketika kumpulan pembela hak kanak-kanak dan pergerakan masyarakat sivil secara konsisten menggesa “pengharaman serta merta, tiada lagi alasan” ke atas perkahwinan kanak-kanak, Dr Wan Azizah jadi sasaran kecaman banyak pihak.

Kes itu terbongkar pada awal Julai dan hampir sebulan kemudian pada 5 Ogos barulah kementerian mengeluarkan kenyataan rasmi yang secara “kategorinya” membantah perkahwinan kanak-kanak apatah lagi yang melibatkan pernikahan dengan orang dewasa.

Bagaimanapun, kesan baik pertikaian isu itu adalah apabila Selangor meminda undang-undang menaikkan had minimum nikah daripada 16 kepada 18 tahun. Malah, menteri besar Perak turut meluahkan sokongan peribadi kepada tindakan itu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Dr Wan Azizah juga berhak dipuji apabila mewujudkan platform bagi pekerja wanita yang diganggu secara seksual di hospital awam membuat laporan rasmi pengalaman mereka. Kementerian turut meluluskan kursus gangguan seksual untuk semua ketua jabatan kerajaan.

PH juga tersepit dalam kemarahan kumpulan LGBT dan konservatif Islam dalam kes penurunan dua gambar aktivis LGBT daripada pameran cintakan negara.

Sejak itu, kenyataan menteri atau timbalan menteri misalnya meminta transgender menggunakan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) atau sekadar bersimpati kepada LGBT walaupun kerajaan tidak menggalakkan atau menyokong “gaya hidup” tersebut.

Semua ini hanya merosakkan lagi wadah isu seksualiti minoriti dalam negara majoriti Islam Malaysia.

Seperti dijangka, PH juga berdepan serangan bertubi-tubi penyokong BN dan konservatif PAS kerana didakwa mempromosi “liberalisme” sehingga meminggirkan Islam. Dalam janji manifesto pilihan rayanya, PH tidak menyentuh secara khusus hak seksual minoriti tetapi berikrar akan memastikan tiada lagi diskriminasi semua rakyat Malaysia tanpa mengenal latar belakang.

Peringatan terbaik kepada kerajaan baharu datangnya daripada pergerakan masyarakat sivil pada Rabu dalam sebuah majlis menilai prestasi PH dalam tempoh 100 hari berkuasa.

Aktivis dan ahli akademik Gayathry Venkiteswaran mengingatkan PH supaya berhenti jadi “tukang cuci” dan mula berkelakuan seperti pencetus perubahan bagi melaksanakan janji mereka.

Hanya dengan mengubah kelakuan dan minda boleh mendiamkan pengkritik serta menyakinkan rakyat Malaysia sebenarnya PH ada kemampuan melaksanakan perubahan seperti yang didamba dan dilaungkan selama ini. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen