Mengupaya demokrasi yang lebih radikal


Hadri Shah

JANET Biehl dalam bukunya The Politics of Social Ecology, menulis: “Sistem kenegaraan mengerdilkan warga menjadi sekadar pembayar cukai, pemberi undi dan pengundi; seolah-olah mereka terlalu muda atau tidak berkemampuan untuk mengelola urusan-urusan publik mereka sendiri. Warga diharapkan berfungsi semata-mata secara pasif dan membiarkan para elit politik mencairkan jalan terbaik bagi mereka”.

Menuju 100 hari janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bakal menjelang beberapa hari lagi nampaknya tidak begitu mencemaskan.

Walaupun masyarakat tidak menyatakan dengan terang, tetapi mereka membenarkan sebuah kenyataan yang pahit yakni “yang paling penting Barisan Nasional (BN) dan Najib Razak dijatuhkan di pilihan raya, selebihnya, itu cerita lain”.

Lucunya, dalam hal-hal membela nasib masyarakat seperti pemansuhan kadar tol, kesesakan lalu lintas dan kesan pencemaran terhadap alam sekitar, gaji minima yang dijanjikan, reformasi dalam sistem pendidikan, pemansuhan akata-akta drakonian (sekadar menyentuh beberapa perkara), hampir kesemuanya memerlukan pengkajian semula.

Namun, perkara melibatkan perlantikan pengerusi syarikat-syarikat GLC seperti Khazanah, misalnya, tidak pula memerlukan pengkajian, bahkan urusan-urusan ini ternampak lebih mudah diputuskan berbanding urusan pembelaan masyarakat.

Akhirnya kenyataan remeh seperti “takkanlah lepas kahwin terus mengandung”, “ini semua salah kerajaan lama”, “terima kasih kerajaan lama kerana menyukarkan proses perubahan” dan “janji-janji kerajaan PH memerlukan pengkajian semula memandangkan tiadanya kajian teliti ketika merangka manifesto” menceriakan suasana politik ala komentar Ahmad Maslan suatu ketika dahulu.

Lalu, masyarakat seperti selalunya, tidak mempunyai daya akan apa jua keputusan-keputusan yang bertentangan daripada janji yang ditawar semasa pilihan raya.

Disebabkan itu, pada saat ini,kita mesti bertanya keras: Apakah ini wajah sebenar demokrasi? Mengapa ketika masyarakat ghairah bertempik demokrasi, sebuah keniscayaan tentang ‘kuasa rakyat’, kerap kali pula mereka merasa terpinggir?

Apakah demokrasi bukan lagi alat yang bertenaga untuk membina jalan-jalan perubahan?

Dan mengapa demokrasi yang diyakini sebagai sebuah idea yang mendukung suara-suara rakyat namun realitinya, suara-suara ini mudah ditenggelamkan dengan keputusan mutlak yang diputuskan oleh kelompok kecil yang memiliki kuasa penuh? (baca: kelas pemerintah)

Dari bandar St Petersburg sampai ke Kuala Lumpur, masyarakat global kini terdesak mencari program baharu yang lebih inovatif yang mampu membawa masyarakat menyertai proses perbincangan bagi membolehkan orang ramai merasa “penting” dalam membuat keputusan dan melaksanakan tindakan.

Dalam konteks ini, ada eloknya kita meneliti pemikiran Wayne Price, seorang pemikir anarkis. Tidak seperti kebanyakan anarkis yang menolak idea demokrasi, Wayne Price masih percaya demokrasi masih memiliki potensi yang besar.

Ini dapat dilihat dari[ada konsistensinya beliau menulis dua esei penting tentang idea pendemokrasian iaitu “Anarkisme Sebagai Bentuk Demokrasi Ekstrem” dan “Adakah Anarkisme dan Demokrasi Bertentangan?”.

Bagi Price, demokrasi adalah teriakan orang-orang yang tertindas melawan elit penguasa – sebuah idea bahawa orang biasa (masyarakat kebanyakan) harus terlibat dan berperanan dalam masyarakat, dan mengawal institusi yang membentuk masyarakat mereka.

Sebab itu, Wayne dan sebahagian anarkis lain mempromosi masyarakat untuk bersama-sama membina demokrasi langsung dengan masyarakat itu sendiri mengelola hal ehwal mereka melalui badan atau dewan yang mereka tubuhkan.

Begitu juga dengan pandangan Eleanor Finley, seorang aktivis sosial ekologi. Baginya, masyarakat global yang tertindas oleh sistem demokrasi perwakilan hari ini perlu mempelajari tentang pengendalian program yang lebih berkesan dalam menyuburkan amalan demokrasi.

Finley, dalam artikelnya “The New Municipal Movement” mempromosi gerakan demokrasi langsung yang sudah berjalan di beberapa bandar di Amerika Syarikat seperti di Jackson, Missisippi dan Washington.

Salah satu  gerakan perbandaran yang mula melontarkan idea demokrasi langsung ialah Cooperation Jackson, sebuah inisiatif sivik yang berpusat di Missisippi.

Ia digerakkan aktif oleh anggota-anggota masyarakat bandar tanpa struktur pemerintahan bersifat hieraki serta bebas daripada dominasi kelompok elitis.

Di Missisippi, yang 85% penduduknya kulit hitam tetapi 90% ekonominya dipegang oleh kulit putih, Cooperation Jackson memupuk kuasa popular melalui pembangunan ekonomi partisipatif.

Sepanjang dekad, Cooperation Jackson dan pendahulunya membentuk persekutuan koperasi milik pekerja dan inisiatif lain untuk pengeluaran demokratik dan ekologi.

Pangkalan ekonomi mereka kemudiannya dikaitkan dengan perhimpunan orang ramai, yang secara umumnya menentukan keutamaan program.

Menariknya, Cooperation Jackson terlibat  dalam pemilihan dan pemerintahan daerah.

Kelompok masyarakat akan mengambil bahagian dalam pungutan idea secara kolektif dan melantil wakil-wakil untuk memperdebatkan idea-idea di dewan bagi mencari penyelesaian kepada keadaan ekonomi dan sosial komuniti dengan cara yang lebih demokratik.

Hasilnya, keadaan sosial, ekonomi dan politik mereka lebih baik hasil penglibatan langsung ahli-ahli masyarakat.

Ternyata, melalui contoh Cooperation Jackson, demokrasi belum lagi kehilangan sifat revolusionernya.

Namun, menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat untuk dididik bahawasanya demokrasi yang memberi sepenuh kekuasaan kepada kelompok kecil elit bukan sahaja merugikan, malah melemahkan potensi alamiah masyarakat.

Seandainya demokrasi langsung dan radikal adalah jawapan kepada masalah kita pada hari ini, maka, tidak ada lagi sebab mengapa kita perlu terus bergantung nasib kepada elit politikus. – 14 Ogos, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen