BAGI menteri pelancongan, kesenian, budaya, belia dan sukan Sarawak, ada baik dan buruknya dalam keputusan “berubah-ubah” kerajaan persekutuan dalam cukai pelancongan yang mencetuskan kontroversi itu.
Yang baiknya adalah rakyat Malaysia kini dikecualikan daripada membayar cukai tersebut.
Buruknya pula ialah perubahan itu membuktikan cukai itu ialah “kerja terburu-buru tanpa memikirkan perkara itu sedalamnya”, kata Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz yang mengumumkan satu lagi perubahan mengenai cukai itu di Parlimen semalam.
Menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke (DAP), Nazri berkata yang rakyat Malaysia tidak perlu membayar cukai tersebut kerana ia hanya akan dikenakan kepada pelancong asing dengan kadar tetap RM10 semalam dan sebilik untuk semua jenis hotel dan penginapan.
Sebelum ini, kadar yang dicadangkan ialah RM20 untuk penginapan bertaraf lima bintang, RM10 untuk penginapan bertaraf empat bintang, RM5 untuk penginapan bertaraf satu sehingga tiga bintang dan RM2.50 untuk penginapan tanpa penarafan.
“Mana-mana pengumuman yang mengatakan rakyat Malaysia tak perlu bayar cukai adalah baik,” kata Karim.
“Ia sesuatu yang kami (Sarawak) tentang. Ini yang kami katakan selama ini dan perjuangkan. Rakyat Malaysia (yang tinggal di hotel) bukan pelancong.
“Ia berita baik untuk rakyat Malaysia yang sudahpun terbeban dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjuran “International Summit On Peace” yang akan di adakan di Sarawak, September depan.
Karim menambah yang dia berharap “ini adalah keputusan terakhir”.
Mengenai jumlah bayaran yang dikenakan kepada pelancong asing untuk semalaman dan di bilik semua jenis hotel atau penginapan itu pula, Karim berkata yang RM10 hanyalah “jumlah yang sedikit” untuk mereka.
“Token kecil,” katanya dan ia tidak akan menimbulkan kesan buruk kepada industri pelancongan.
Apabila Karim meluahkan rasa tidak puas hati Sarawak mengenai cara Putrajaya memaktubkan cukai itu dalam perundangan tanpa berunding terlebih dahulu dengan negeri dan mendesak pelaksanaannya ditangguhkan pada Jun lepas, ia mencetuskan pertikaian mulut dengan Nazri.
Nazri menggelarkan Karim sebagai ahli politik baharu dan seorang “gangster” yang patut mendiamkan diri.
Karim kemudiannya membalas kejian Nazri itu dengan mengatakan yang walaupun cukai adalah urusan kerajaan persekutuan, rundingan ialah cara terbaik yang perlu dilakukan kerana pelancongan adalah urusan negeri dan kerana itu Putrajaya tidak boleh mengutip cukai dalam perkara yang bukan di bawah bidang kuasa mereka.
Kegagalan untuk berunding itu, kata Karim sama seperti “menentang semangat Perjanjian Malaysia”.
Sarawak hanya bersetuju dengan cukai itu selepas kerajaan persekutuan bersetuju yang cukai itu akan dikongsi secara saksama antara Sarawak, Sabah dan Malaya- tiga buah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Apabila ditanya sekiranya Sarawak masih akan terus mendesak penangguhan tarikh mula berkuatkuasa cukai itu, Karim mengatakan yang kutipan tidak akan dilakukan kerajaan negeri tetapi akan dilakukan oleh Jabatan Kastam Di Raja dan kerana itu terpulang kepada mereka untuk menentukan bilakan kutipan cukai itu akan bermula.
Semalam, Nazri dilaporkan berkata yang Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kastam Di Raja dalam tahap terakhir penyediaan teknikal sistem kutipan cukai itu dan Perdana Menteri Najib Razak dijangka akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat. – 27 Julai, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan