Anwar akan jadi PM jika Rafizi timbalan presiden, kata penyokong


Mohd Farhan Darwis

Penyokong calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Anwar Ibrahim tidak akan berjaya dilantik menjadi perdana menteri jika Azmin Ali kekal sebagai timbalan presiden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2018.

CALON timbalan presiden PKR, Azmin Ali menjadi sasaran serangan pasukan Reformasi 20 Tahun dalam jelajah kempen yang bermula semalam di Johor Baru.

Kumpulan penyokong Rafizi Ramli itu antara lain mendakwa, presiden mereka Anwar Ibrahim tidak akan berjaya dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Azmin kekal sebagai timbalan presiden.

Calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani mendakwa ini memandangkan Azmin disokong kuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan, Daim Zainuddin.

“Kalau hendak tengok Anwar jadi perdana menteri pilih Rafizi jadi timbalan presiden. Kalau mahu tengok Anwar jadi perdana menteri pilihlah Azmin.

“Azmin didukung Daim (Zainuddin) dan (perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad)...itu jelas dalam kenyataan mereka.

“Kita hendak ingatkan mereka, itu perancangan kamu, perancangan Allah lagi besar, wajib untuk Rafizi diangkat menjadi timbalan presiden,” kata ahli Parlimen Kapar itu di hadapan 300 ahli PKR.

Pertemuan di sebuah hotel di Johor Baru pada malam tadi merupakan destinasi pertama pasukan Reformasi 20 Tahun ini dalam kempen menjelang pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung pada September.

Johor juga merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan ahli PKR yang besar, iaitu sekitar 38,600 ahli.

Abdullah dalam ucapannya juga menyelar tindakan pemimpin tertentu PKR yang didakwa mengkhianati Anwar dengan mengemukakan usul untuk menyingkirkan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada jawatan presiden PKR suatu ketika dulu.

“Mampukah kita melihat bila keparat, haram jadah, celaka yang buat usul pecat presiden akan datang?

“Jangan benarkan mereka yang cuba khianat Anwar bertapak bermaharajalela mengaut untung,” katanya, tanpa menyebut nama mana-mana individu.

Sementara itu, calon MPP yang juga Ahli Parlimen Subang Wong Chen dalam ucapannya membangkitkan politik wang yang didakwa wujud dalam pemilihan kali ini.

“Kita pasukan ini semua sudah isytihar aset, sebelah sana macam mana? Kalau ada orang nak bayar (penginapan) di hotel tanya dulu. Malaysia Baharu tidak boleh lakukan ini, untuk tegakkan keadilan kita kena tentang rasuah,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Kapar, G Manivannan pula dalam ucapannya juga mengutuk budaya cantas-mencantas yang didakwa mula wujud dalam PKR.

Beliau mendakwa amalan itulah yang menyebabkannya gagal mengekalkan jawatan sebagai ahli Parlimen apabila diletakkan untuk bertanding di kawasan Hutan Melintang.

“Kalau kita bersuara, akan ada kuasa yang wujud mencantas kita… Mereka campak saya ke Hutan Melintang. Saya akan kembali.

“Betul ini pemilihan dalam keluarga kita tapi bagi saya kalau keluarga saya buat salah itu tetap salah.

“Dalam keluarga PKR salah tetap salah. Hitam tetap hitam, putih tetap putih. Jangan ada kelabu. Kita tolak politik wang. Kita naikkan insan yang mulia utk menerajui parti kita,” katanya.

Turut hadir dalam kempen itu adalah barisan calon jawatan utama untuk sayap Wanita – Fuziah Salleh yang bertanding jawatan ketua serta gandingannya Rodziah untuk jawatan timbalan ketua.

Ahli Parlimen kawasan Johor Bahru Akmal Nasir yang merupakan calon ketua Pemuda serta barisan MPP PKR turut hadir dalam kempen malam tadi.

Nurul Izzah Anwar, calon naib presiden yang dikatakan bersama pasukan Rafizi bagaimanapun tidak kelihatan. – 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tak kan Anwar sebegitu lemah sehingga memerlukan Rafizi sebagai pendokong untuk menjadi PM ? Dollah Sani ni telan pil kuda kut , sampai mamai lagu ni ?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan