Ada baiknya Khairy lapor polis, kata Annuar Musa


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata tiada peraturan dalam parti yang menghalang Khairy jamaluddin daripada membuat laporan polis terhadap Najib Razak berkenaan dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerajaan BN telah 'merompak' bayaran balik GST bernilai RM18 bilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Ogos, 2018.

TIADA tindakan akan dikenakan terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana membuat laporan polis terhadap bekas menteri kewangan yang juga bekas presiden Umno Najib Razak, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Annuar berkata, tiada peraturan dalam parti itu yang menghalang Khairy daripada berbuat demikian.

“Tiada…peraturan mana. (Anina) itu hal parti dia bawa parti ke mahkamah. Itu (buat laporan polis) hak Khairy, ada baiknya juga supaya siasatan dibuat. Tiada masalah,” kata Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh.

Annuar merujuk kepada tindakan Anina Saadudin memfailkan saman yang didakwanya bagi pihak Umno terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2015 berhubung isu derma RM2.6 bilion yang didakwa digunakan untuk parti.

Anina dipecat daripada Umno pada 2 September 2015 kerana didakwa melanggar Perkara 20.7 Perlembagaan Umno iaitu membawa hal parti ke mahkamah.

Beliau kemudiannya menyertai Bersatu namun bertindak keluar parti pada September 2017 kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti itu.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerajaan Barisan Nasional (BN) telah “merompak” bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM18 bilion.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul petang tadi.

Lim membuat tuduhan itu pada sesi membentangkan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Lim, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion dan mengikut rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia terdapat kira-kira RM18 bilion yang belum dibayar.

Dalam sidang medianya hari ini, Khairy turut mengesahkan laporan polis itu turut menggesa siasatan dilakukan terhadap bekas menteri kewangan dan semua individu termasuk bekas pegawai tertinggi kementerian kewangan.

Tambah beliau laporan itu dibuat selepas beliau berbincang bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen