Khairy buat laporan polis berhubung kutipan GST 'dirompak'


Khairy Jamaluddin hari ini membuat laporan polis di IPD Sentul mengenai dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional 'merompak' RM18 bilion tuntutan bayaran balik GST. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Ogos, 2018.

BEKAS menteri, Khairy Jamaluddin hari ini membuat laporan polis mengenai dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) “merompak” RM18 bilion tuntutan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Rembau itu mahu polis menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam bahawa sejumlah RM18 bilion daripada RM19.4 bilion cukai input (bayaran balik) di bawah sistem GST sejak 2015 telah “dirompak” oleh pentadbiran BN pimpinan Najib Razak.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau akan membuat laporan sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Bercakap secara ringkas kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul pada pukul 2 petang tadi, Khairy berkata laporan dibuat supaya polis dapat menyiasat perkara itu.

“Beliau (Lim) dakwa kerajaan terdahulu merompak RM18 bilion bayaran balik GST.

“Saya tak fikir itu mencukupi, sebab itu saya buat laporan polis hari ini.

“Saya akan buat laporan dengan SPRM esok,” kata Khairy.

Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan Lim  itu.

Zahid berkata wang itu dimasukan ke dalam akaun yang disatukan dan hanya dianggap dirompak jika digunakan bagi tujuan yang salah di sisi undang-undang.

“Saya tidak fikir ianya hilang kerana ia masuk ke dalam akaun yang disatukan, ‘consolidated account’, maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Maka jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian,” katanya, kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam satu perkembangan lain, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Putrajaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat wang GST yang hilang. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen