Jangan doakan orang mati cepat, kata Anwar


Gan Pei Ling Nabihah Hamid

Peralihan kuasa adalah proses yang biasa dalam politik dan Pakatan Harapan telahpun mencapai kata sepakat pada Januari yang beliau akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Ogos, 2018.

BAKAL perdana menteri Anwar Ibrahim berkata beliau sukar menerima pandangan beberapa pihak yang mencadangkannya menunggu agar ada lagi ahli Parlimen yang meninggal dunia, supaya beliau boleh bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

Anwar diminta mengulas apakah wajar bagi ahli Parlimen mengosongkan kerusi untuk beliau atau lebih baik berharap jika ada ahli Parlimen PKR yang akan meninggal dunia.

“Ia harus bermula dengan penyertaan saya di Parlimen. Saya tidak fikir janggal jika ada orang pelawa (kerusi) Parlimen.  Jangan kita mendoakan orang mati cepat,” kata Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

“Saya sukar mengerti fahaman ini kerana orang ini kurang arif tentang politik, dan kerana peralihan ini ia sesuatu yang biasa. Keputusan itu dibuat semasa saya dipenjara lagi.”

Menurut Anwar lagi, peralihan kuasa adalah proses yang biasa dalam politik dan Pakatan Harapan telahpun mencapai kata sepakat pada Januari yang beliau akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa berkata ramai ahli Parlimen yang menawarkan diri untuk memberi laluan kepada Anwar.

Walaupun telah memberi laluan kepada Anwar pada 2008, Wan Azizah berkata beliau tidak akan lagi berbuat perkara yang sama dan akan kekal sebagai timbalan perdana menteri dan ahli Parlimen Pandan.

Anak Anwar, Nurul Izzah Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh juga berkata tidak akan mengosongkan kerusinya kerana beliau telah merancang pelbagai program untuk pengundi di kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang. – 9 Ogos, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen