Najib patut gembira PH dipimpin orang tua, kata Dr Mahathir


Bede Hong

Najib sepatutnya meraikan apabila barisan kepimpinan PH terdiri daripada mereka yang berusia, kata Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Julai, 2017.

DR Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Najib Razak sepatutnya tidak mengadu tentang ahli politik yang lebih tua mengetuai gabungan parti pembangkang.

“Jadi, memandangkan mereka sudah tua, kenapa dia begitu risau?” kata bekas perdana menteri itu di Putrajaya hari ini.

Pada sidang pelabur awal hari ini, Najib berkata struktur kepimpinan terbaharu yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) adalah “bunyinya melucukan, seperti program kembali bekerja untuk pesara politik berusia”.

“Dia patut gembira,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan forum politik bersama ahli akademik.

“Dia harus berfikir, ‘baguslah mereka ada orang tua yang memimpin Pakatan Harapan. Mereka pasti kalah dalam pilihan raya.”

“Dia sepatutnya meraikan, bukan mengadu atau memperkatakannya.”

Barisan kepimpinan PH, Majlis Presiden diumumkan pada 14 Julai. Dr Mahathir, 92 diumumkan sebagai Pengerusi, manakala Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Ketua Umum.

Anwar akan meraikan ulang tahun ke-70 pada 10 Ogos.

Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, 64 dinamakan sebagai Presiden. 

Veteran pembangkang Lim Kit Siang, 76 yang tidak dinamakan dalam barisan baharu itu, baru-baru ini memberitahu wartawan  beliau mahu memberi laluan kepada pemimpin muda.

Ahad lalu, Najib meraikan ulang tahun ke-64 pada hari sama beliau mengumumkan RM1.59 bilion program insentif tunai dan bantuan untuk peneroka Felda. - 25 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen