Kes Najib tiada kaitan dengan 1MDB dan Equanimity, kata peguam


SM Amin

Peguam Shafee Abdullah (dua dari kanan) berkata pertuduhan ke atas anak guamnya, Najib Razak hari ini tiada kaitan dengan 1MDB dan kapal Equanimity. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2018.

PEGUAM kepada Najib Razak menegaskan pertuduhan ke atas bekas perdana menteri itu hari ini tiada kaitan dengan skandal 1MDB dan juga kapal pesiar mewah Equanimity.

Shafee Abdullah berkata beliau bagaimanapun tidak menolak andaian bahawa pendakwaan tersebut dibuat pada hari ini untuk mengaitkan kes Najib dengan Equanimity dan 1MDB.

Katanya, beliau berharap ketibaan kapal layar Equanimity semalam dengan pendakwaan terhadap Najib hari ini adalah kebetulan yang tidak dirancang.

“Kes ini tiada kaitan dengan 1MDB dan kes ini tiada kena mengena dengan kapal layar Equanimity yang tiba di Pelabuhan Klang.

“Saya harap secara kebetulan ini kononnya pertuduhan ini dibuat di mahkamah, tidak sengaja dibuat pada hari ini untuk orang ramai beranggapan mungkin ada kaitan dengan kapal layar atau 1MDB.

“Tetapi memang ada sesuatu yang mungkin berlaku,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, anak guamnya itu mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengubah wang secara haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Ketiga-tiga pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pertuduhan itu dibuat sehari selepas kapal layar mewah The Equanimity tiba di Pelabuhan Klang selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia susulan rampasan.

Menurut peguam negara rampasan itu hasil perjanjian bantuan perundangan bersama dengan dua negara tersebut, dan juga usaha Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Najib semalam berkata beliau tidak tahu jika dana 1MDB digunakan untuk membeli kapal pesiar mewah itu, yang didakwa dimiliki jutawan Low Taek Jho atau Jho Low. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen