BEKAS perdana menteri Najib Razak mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengubah wang secara haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Beliau merekodkan pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali
Semasa pengurusan kes Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memohon agar tuduhan ke atas Najib didengar bersama.
Najib terdahulu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Untuk tuduhan pertama, beliau didakwa menerima sejumlah RM27 juta ke dalam akaunnya di AmIslamic Bank Berhad melalui sistem pemindahan wang elektronik Rentas pada 26 Disember 2014.
Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menerima sejumlah RM5 juta lagi ke dalam akaun berasingan miliknya di bank sama, juga pada 26 Disember 2014.
Untuk tuduhan ketiga, beliau didakwa menerima RM10 juta pada 10 Februari 2015. Beliau didakwa menerima wang tersebut dalam akaun sama yang menerima wang untuk tuduhan pertama.
Setiap tuduhan membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga 15 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah memutuskan ikat jamin atas empat pertuduhan sebelum ini dipanjangkan kepada pertuduhan hari ini.
Hakim Nazlan juga memutuskan, permohonan pembelaan untuk melarang kes tersebut dibincangkan di ruang awam didengar pada har Jumaat.
Tarikh perbicaraan kes hari ini juga akan ditetapkan pada Jumaat.
Najib yang ditemani anaknya Norashman dan Nooryana Najwa meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira jam 12.45 tengahari.
Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah mengikut Kanun Keseksaan dan satu tuduhan salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 8 Ogos, 2018.
Komen