PENDEDAHAN Presiden Institut Republikan Antarabangsa (IRI) Daniel Twinning yang mendakwa organisasi itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pastinya akan melibatkan kos yang perlu dibayar oleh kerajaan kata Ahli Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican.
Bekas timbalan menteri luar itu berkata, dasar kerajaan pastinya akan dipengaruhi dengan niat dan motif pihak luar sekiranya dakwaan itu benar.
“Soal demokrasi kita harus dicorakkan dengan cara kita. Kita tidak perlu Amerika Syarikat untuk ajar kita apa makna demokrasi di negara kita. Sebab itu apabila ada campur tangan… (akan) ada kos.
“Kos untuk menurut apa yang mereka mahu. Ia akan menjadikan negara kita tercengkam dengan tuntutan tertentu kerana kerajaan yang telah terbina, (adalah) kerajaan yang mendapat bantuan daripada mereka.
“Kita adalah negara berdaulat, rakyat kita rakyat berdaulat dan biar kita menentukan negara kita mengikut acuan kita sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Justeru itu, beliau mendesak supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan negara bebas daripada campur tangan asing.
“Jadi apa yang disebut laporan IRI itu adalah satu benda yang perlu disiasat dan rakyat perlu tahu bahawa hakikat perkara ini tak sewajarnya berlaku.
“Secara prisip, kita tidak harus membiarkan diri kita daripada mengikut telunjuk kuasa asing untuk membentuk suasana politik negara,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menyifatkan penafian yang dibuat oleh pimpinan kerajaan meragukan dan meminta kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung pengakuan IRI itu.
“Walaupun pemimpin PH nafi ada hubungan dengan IRI, namun badan tersebut telah membuat pengakuan bahawa ada kaitan dengan memberi bantuan serta dana kepada parti politik pembangkang sebelum ini.
“Kerajaan persekutuan hari ini perlu membuat penjelasan kepada rakyat samada dakwaan itu adalah betul atau tidak. Kalau kata tiada kaitan, buktikan.
“Kalau menerima dana dari IRI atau mana-mana organisasi, rakyat mahu tahu berapa jumlahnya,” katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan menerusi menterinya sebelum ini menafikan pernah bekerjasama dengan badan pemikir parti Republikan yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang juga ketua wanita PKR, berkata beliau hanya tahu IRI adalah kumpulan pendesak yang memberi tumpuan kepada program pembinaan keupayaan.
“Jika anda merujuk kepada IRI yang datang ke Malaysia untuk program kepimpinan dan perkara-perkara lain, saya tidak fikir dakwaan itu betul.
“Tidak ada yang terlibat dalam pilihan raya umum,” katanya– 7 Ogos, 2018.
Komen