Islam politik: Membela sunnah atau elit agamawan?


Hadri Shah

YANG paling lucu dalam kontroversi kartun karya saudara Amin Landak baru-baru ini ialah cara penerimaan PAS dan penyokong-penyokongnya. Terang-terang, PAS pantas tidak nyaman dengan usikan sinis Amin.

Di laman Facebook dan di lidah rasminya Harakah,  PAS dengan lantang menyifatkan karya satira itu begitu biadab.

Bertambah lucu, apabila adanya penyokong yang menganggap kartun satu panel itu yang menggambarkan watak berjubah dan berserban sebagai suatu penghinaan terhadap pakaian sunnah!

Tunggu sekejap!

Bagaimana kartun tanpa dialog yang jelas menyampaikan mesej sinikal mengkritik “hubungan dan dokongan erat” PAS kepada Umno itu boleh sampai “terlajak simpang” ke hal pakaian sunnah?

Katakanlah, sekiranya saudara Amin menggambarkan dua watak PAS dalam kartun yang sama berpakaian biasa, apakah respons “terasa terhina” akan tetap timbul?

Besar kemungkinan jawapannya, ya!

Tuan-tuan,

Dalam nuansa politik yang dijenamakan, dilabelkan dengan dukungan kepada praktis agama (Islam) yang diyakini berkiblatkan kitab suci dan sunnah, bukan saja ahli PAS, bahkan penyokong-penyokong (baca: individu atau kelompok masyarakat) mengamini apa saja cara, percakapan, persoalan, karya satira juga kritikan terhadap PAS dan mana-mana lembaga atau pertubuhan berkaitan Islam, dianggap sebagai satu penistaan terhadap agama. 

Keimanan ini disempurnakan dengan alasan bahawa elit-elit agamawan yang mengimami saf hadapan parti, organisasi dan lembaga mereka ini teguh berpandukan ajaran Al-Quran dan sunnah.

Iktikad mereka mudah –inilah wajah sebenar politik berpaksikan Islam (Islam politik) tanpa ada keraguan walau sebesar zarah.

Maka, apabila adanya kritikan daripada segi apa sekalipun, PAS melalui ahli-ahlinya juga penyokong-penyokongnya membela, memprotes segala jenis serangan yang dituju kepada mereka dengan mengatas namakan pembelaan ke atas agama.

Soalannya: Apa benar tindakan pembelaan ini untuk agama atau saja untuk membela elit agamawan yang menerajui parti politik, organisasi atau lembaga yang berjenama agama?

Roy Murtadho dalam eseinya “Aksi Bela Islam Antara Bela Agama dan Bela Orligarki” menggariskan definisi Islam politik.

Kata Roy, “pada dasarnya, Islam politik berwatak reaksioner (menentang pembaharuan) dan anti perubahan. Islam politik tak hanya di Indonesia, tapi juga di belahan dunia Islam lainnya, mereka tak pernah menjadi bahagian daripada perjuangan pembebasan rakyat, bahkan sering kali terlibat melegitimasikan undang-undang yang tidak berpihak kepada rakyat.

“Ikhwanul Muslimin di Parlimen Mesir, misalnya, sebagaimana ditunjukkan Samir Amin, memberi dukungan pada undang-undang yang berisi penguatan hak-hak kepemilikan peribadi yang merampas hak-hak petani yang merupakan majoriti petani kecil di Mesir.”

Sekali imbas, kedengarannya, apa yang berlaku di Indonesia, Mesir dan belahan dunia lain, gerakan yang mempromosi Islam politik tak ada bezanya dengan apa yang berlaku di Malaysia.

PAS dan organisasi Islam lain sering kali menjunjung slogan kepada Al-Quran, hadis dan sunnah, tetapi bila kali terakhir masyarakat mendengar mereka membela separuh pekerja Malaysia yang menerima gaji bulanan kurang RM2,000 sebulan?

Apakah Islam politik gagal menganalisis kesan-kesan akibat kegagalan membereskan hal upah gaji yang sihat, kepada aturan sosial masyarakat?

Atau, bila kali terakhir golongan yang menyeru masyarakat agar kembali kepada kitab suci ini mendesak polisi dan dasar kenegaraan diperketat supaya alam sekitar dibela daripada menjadi korban pemodal demi sebuah kemodenan?

Beberapa minggu sebelum pilihan raya kecil di Sungai Kandis, ada dua peristiwa berlaku selain kontroversi kartun Amin Landak.

Pertama, Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar lantang bersuara di Parlimen berkata PAS tidak setuju dengan gesaan mengharamkan perkahwinan bawah umur kerana “bertentangan dengan Islam”.

Nik Amar berkata: “Kalau mengharamkan terus (perkahwinan melibatkan kanak-kanak) saya sebenarnya tidak bersetuju, sebab daripada segi agama ia tidak salah, tetapi kita boleh mengawal”.

Masalahnya sekarang ialah ada 5,362 permohonan perkahwinan bawah umur direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sejak 2013 sehingga Disember tahun lepas, seperti laporan media.

Bagaimana mahu mengawalnya, wahai Nik Mohd Amar?

Tidakkah kita tahu kesan fizikal dan emosi terhadap anak-anak yang dikahwinkan seawal 13 tahun? Adakah Tuhan merahmati tindakan membenarkan perkahwinan anak-anak ini?

Keduanya ialah desakan PAS untuk menyediakan pakaian yang mematuhi syariah bagi pramugari PAS. Mereka menganggap kenyataan balas Anthony Loke supaya “merendahkan pandangan” bila berhadapan dengan pramugari sebagai tidak bertanggungjawab.

Nah, dalam banyak-banyak soal yang lebih membela keperluan masyarakat hari ini, PAS ternyata lebih konsisten memfokuskan isu aurat, isu pakaian berbanding isu yang lebih merakyat.

Itulah watak dan cerminan perjuangan PAS dan organisasi Islam lain. Peserta program televisyen Pencetus Ummah yang lain pula kini bersolidariti di atas pentas demi mencegah “kemungkaran” isu Safie Ilyas.

Penyokong berkumpul menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

Jangan tanya bila mereka mahu bersolidariti atas ketidakadilan yang berlaku di dunia ini – kerana ia tidak akan berlaku.

Walaupun begitu, hujah dan kritikan terhadap Islam politik ini tidak boleh diremehkan kerana Islam politik mempunyai kekuatan mempengaruhi massa.

Sehingga detik ini, terlalu ramai Muslim yang menegakkan sokongan terhadap keputusan dan tindakan gerakan Islam.

Hujah mereka ringkas, “siapa lagi yang lebih benar antara pimpinan yang ada dasar seruan agama berbanding pimpinan yang tidak?”

Nyatalah, selama ini dokongan massa yang cenderung kepada Islam politik bukan kerana kiblatnya yang mendukung perjuangan membela masyarakat tetapi membela elit agamawan politikus yang “tidak boleh disentuh”. – 7 Ogos, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima Kasih Hadri. Info yang baik.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Kri zalid · Ulasan