Calon Pemuda PKR harapkan kempen sihat, bersih


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir menjangkakan semua calon akan lebih fokus kepada isu daripada serangan peribadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

CALON bagi jawatan Ketua Pemuda PKR berharap semua calon akan menjalankan kempen yang bersih menjelang pemilihan parti yang akan diadakan antara September dan Oktober ini.

Dua calon - Pengarah Strategi Pemuda dan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan bekas pegawai khas Anwar Ibrahim yang juga Adun Kota Anggerik Najwan Halimi - sudah menyerahkan borang pencalonan mereka bagi merebut jawatan tertinggi sayap Pemuda di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda Dr Afif Bahardin adalah seorang lagi calon yang dijangka akan mengemukakan borang pencalonan jawatan itu.

“Kami bukannya orang asing, dan saya fikir ini bagus (pertandingan) kerana saya jangkakan semua orang akan berkempen dengan bersih dan fokus kepada isu daripada fokus kepada serangan peribadi.

“Saya percaya apabila saya tengok mereka yang bertanding jawatan AMK (Angkatan Muda Keadilan)... saya boleh nampak harapan untuk parti bagi generasi akan datang,” kata Akmal kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan.

Bagi Najwan pula, beliau melihat pertembungan tiga penjuru ini adalah satu persaingan persahabatan antara pemimpin pemuda.

“Pertandingan ini bukan bersifat peribadi atau tentang menyokong mana-mana kem. Ini adalah persaingan yang sihat.

“Bagi saya, saya menawarkan kepimpinan yang lebih baik, bersatu dan berintegriti.

“Saya mahumenawarkan satu alternatif kepada ahli muda,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, hanya menerima satu pencalonan bagi jawatan presiden daripada Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi jawatan naib presiden pula menerima dua pencalonan daripada William Leong dan Michael Tamil. Seramai 22 ahli dan pemimpin setakat ini mengesahkan akan bertanding bagi jawatankuasa pusat PKR. – 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • btl tu berkempen lah secara sihat dan bersih.. ini lebih elok dan ia akan menunjukkan lagi yang sesuatu parti itu boleh menjadi ketua kepada sesebuah kerajaan.. kalah menang adat bertanding lakukan seikhlas hati

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Azizul azizi · Ulasan

  • Kempen politik tiada yg sihat semuanya kotor. Jika mahu jadi pemimpin harus menerima hakikat berpolitik. Tiada kata kawan semuanya lawan......

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Jacob Chang Sadang · Ulasan