(LANGSUNG) Azmin antara yang akhir serah pencalonan PKR


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim SM Amin

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dijangka menyerahkan borang pencalonannya bagi pemilihan parti itu 4 petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dijangka menyerahkan borang pencalonannya bagi pemilihan parti itu 4 petang ini di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, kira-kira sejam sebelum tempoh pencalonan ditutup pada 5 petang.

Azmin dijangka akan mengemukakan pencalonan untuk mempertahankan jawatannya, yang setakat ini dicabar oleh Naib Presiden, Rafizi Ramli. Bekas Ahli Parlimen Pandan itu minggu lalu mengumumkan barisan pasukannya dengan slogan Reformasi 20 Tahun.

Setakat pukul 2.30 petang, hanya Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden selepas menghantar borang pencalonan melalui wakilnya 11 pagi tadi. Pencalonan beliau dicadang oleh bakal bekas presiden, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penamaan calon pemilihan MPP hari ini adalah bagi jawatan presiden, timbalan presiden serta 4 kerusi naib presiden dan 20 jawatan ahli majlis pimpinan pusat.

Bagi sayap Pemuda dan Wanita, jawatan-jawatan yang dibuka untuk pertandingan ialah ketua dan timbalan ketua serta tiga kerusi naib ketua dan 20 tempat untuk ahli majlis pimpinan sayap masing-masing.

Proses penamaan calon ini dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang, serentak dengan penamaan calon bagi pemilihan cabang di dua negeri terakhir iaitu Perak dan Selangor.

Semua negeri lain sudah selesai menerima pencalonan bagi pemilihan cabang masing-masing hujung minggu lalu hingga semalam.

The Malaysian Insight melaporkan secara langsung perkembangan proses penamaan calon hari ini dari ibu pejabat PKR:

5:10 pm: Demi menjaga keutuhan parti, Mohamed Azmin Ali hanya akan mempertahankan jawatan sebagai timbalan presiden dalam pemilihan PKR.

Amiruddin Shaari dalam sidang media ringkas memaklumkan keputusan tersebut dibuat setelah perbincangan pelbagai peringkat dari Ketua Umum hingga ke akar umbi.

“Demi menjamin keutuhan parti, Azmin telah membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden PKR.

“Beliau harap peranan beliau sebelum ini dapat dinilai secara objektif oleh ahli dan aktivis parti yang selama ini telah memberi sokongan padu kepada beliau.

“Saya merasakan ianya satu gandingan mantap antara Anwar Ibrahim dan Azmin,” katanya.

4.45 pm : Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Hilman Idham menyerahkan borang pencalonan Mohamed Azmin Ali bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Hilman Idham menyerahkan borang pencalonan Mohamed Azmin Ali di ibu pejabat PKR hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Ogos, 2018.

4:40 pm: Zuraida Kamaruddin tidak akan mempertahankan jawatan beliau sebagai Ketua Wanita PKR dan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti 2018.

Borang pencalonan beliau dihantar oleh Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad.

Menurut Hizwan, tindakan Zuraida itu adalah untuk memberi laluan kepada wanita lain dalam parti memberi sumbangan sebagai Ketua Wanita PKR yang baru.

“Saya harap semua dapat beri sokongan dan dokongan kepada Zuraida Kamaruddin untuk menjawat jawatan Naib Presiden supaya tugas dan tanggungjawab beliau yang beliau lakukan selama ini lebih dirasai oleh anggota parti.

“Dalam beberapa tahun kebelakang ini beliau telah menyatakan tidak akan mempertahankan lagi jawatan Ketua Wanita PKR dan memberi peluang kepada wanita-wanita lain untuk bergerak maju di dalam parti,” katanya.

Setiausaha politik Zuraida Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad menunjukkan borang pencalonan yang dihantar ke ibu pejabat PKR hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

4.20 pm: Senarai pencalonan yang diterima setakat jam 4:15 petang:

Presiden

Anwar Ibrahim

Timbalan Presiden

Rafizi Ramli

Naib Presiden 

  • William Leong
  • Michael Thamil
  • Nurul Izzah
  • Johari Abdul
  • Kesavan Subramaniam
  • G. Balasubramaniam 
  • Xavier Jayakumar

Sebanyak 68 borang pencalonan diterima untuk jawatan ahli MPP.

Ketua Wanita PKR

  • Fuziah Salleh
  • Haniza Talha

Timb. Ketua Wanita PKR

  • Dr. Daroyah Alwi
  • Rodziah Ismail

Naib Ketua Wanita PKR

  • Chrisnadia
  • Faezah Ariffin
  • Chua Yee Ling
  • Wasanthee
  • Sivamalar
  • Sangeetha
  • Rahimah Majid

Sebanyak 20 borang pencalonan diterima untuk jawatan Exco Wanita PKR Pusat.

Ketua Pemuda
Akmal Nasir
Najwan Halimi
Dr. Afif Bahardin

Timb. Ketua Pemuda

  • Naqiuddin Nazrin
  • Raymond Ahmar
  • Mohd Hilman Idham

Naib Ketua Pemuda

  • Thibali Subramaniam
  • Chua Wei Keat
  • Ahmad Syukri
  • Mohd Nazree
  • Loh Ker Chean
  • Jestin Raj
  • Sian Sy Jen

Sebanyak 42 borang pencalonan diterima untuk jawatan Exco Pemuda Pusat.

4.00 pm: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hanya sasar jawatan MPP dan memberi laluan kepada pimpinan lebih senior untuk merebut jawatan Naib Presiden. 

Beliau yang juga Adun Sg Tua itu berkata mahu fokus dengan pentadbirannya di Selangor.

3.55 pm: Calon Naib Presiden, Tian Chua mengingatkan kepada calon-calon bertanding supaya tidak menggunakan strategi jahat dan bertanding dalam semangat kekeluargaan.

Tegasnya, proses pemilihan ini seharusnya dijadikan platform untuk memperkukuhkan perpaduan di dalam parti dan seterusnya memberi khidmat kepada negara.

“Saya seru kepada semua pihak supaya kita boleh bertanding tetapi jangan kita mengambil sikap tertutup untuk memusuhi pihak yang bukan sepasukan dengan kita.

“Itu adalah satu budaya yang buruk dan kita harap tidak ada edaran berita-berita palsu dan juga fitnah terhadap mana-mana anggota yang telah menyertai pemilihan ini,” katanya.

Tian Chua hadir bersama penyokongnya untuk menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Ogos, 2018.

Saifuddin Abdullah tanding MPP

3.42 pm: Saifuddin Abdullah menawar diri bertanding jawatan ahli MPP, pemilihan parti yang pertama baginya sejak keluar Umno dan menyertai PKR pada Oktober 2015.

Beliau yang juga ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan mengakui beliau masih baru dalam parti dan berharap tawaran khidmatnya dapat sokongan semua ahli parti.

Saifuddin juga menegaskan beliau bukan sebahagian daripada mana-mana kem calon timbalan presiden sebaliknya mendukung Anwar Ibrahim sebagai presiden.

Saifuddin Abdullah menawar diri bertanding jawatan ahli MPP pada pemilihan parti itu kali ini selepas keluar daripada Umno dan menyertai PKR pada 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

3.20 pm: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tiba untuk menyerahkan borang pencalonan. Beliau masih berteka-teki apabila ditanya wartawan mengenai jawatan apa yang bakal ditandinginya. 

“Biar saya daftar dulu,” katanya.

Amirudin Shari menunjukkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon bagi pemilihan PKR. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.  

Nurul Izzah pertahan jawatan naib presiden

3:15 pm: Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR September ini.

Borang pencalonan ahli Parlimen Permatang pauh itu diserahkan oleh pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebentar tadi.

Nurul Izzah adalah antara  empat calon naib presiden dalam pasukan Rafizi Ramli. Tiga calon lain ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

3.05 pm: Dr Afif Bahardin bersama Hilman Idham berarak sambil laung reformasi, “Keadilan Masa Depan”.

Calon ketua sayap Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin tiba ke pusat penamaan calon dengan sebuah bas bersama pasukannya.– Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

Calon ketua Pemuda, Afif Bahardin datang dengan bas

2.58 pm: Calon ketua sayap Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin tiba ke pusat penamaan calon dengan sebuah bas bersama barisan calon lain dalam pasukannya.

Afif berganding dengan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhamad Hilman Idham yang bertanding sebagai timbalan ketua sayap.

Dalam kenyataan bersama dua hari lepas, mereka mengumumkan bertanding ” menjana semula satu muafakat baru bagi membangun sayap AMK yang kuat dan progresif.”

MB Selangor hanya tanding ahli MPP

2.45 pm: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hanya akan bertanding jawatan MPP, dan bukannya jawatan naib presiden, seperti yang dispekulasikan oleh sebuah portal berita, kata sumber kepada The Malaysian Insight. 

“MB bertanding MPP kerana sedar tanggungjawab naib presiden itu besar kerana perlu beri penumpuan kepada tugas-tugas Kerajaan Negeri.

“Namun semangat untuk memberi khidmat kepada parti Keadilan adalah pendorong kepada pencalonan MPP supaya suara akar umbi Selangor dapat dibawa ke peringkat Pusat,” kata sumber dalaman PKR kepada The Malaysian Insight. 

Adun Sg Tua itu dijangka menyerahkan borang pencalonannya lebih kurang 3 petang ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mahu rebut jawatan MPP serta menyeru semua ahli membawa semangat demokrasi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

Fahmi Fadzil tawar diri ahli MPP

2.30 pm: Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mahu rebut jawatan MPP dan menyeru semua anggota membawa semangat demokrasi.

“Anggota parti semua menerima semangat demokrasi tapi pada masa sama kita kekalkan disiplin. Kita tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kita boleh lakukan proses demokrasi ini dengan matang baik dan tenteram,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan terbabit dalam mana-mana kem sebaliknya menegaskan hanya patuh pada presiden parti.

“Saya bukan dengan mana-mana kem. Kalau ada pun, saya dengan kem Anwar tetapi Anwar tidak ada kem, jadi saya hanya ikut presiden,” katanya, sebelum menyerahkan borang pencalonannya.

1.42 pm: Calon Ketua Wanita Haniza Talha nafi sayap Wanita PKR adalah pak turut. Beliau berkata kepimpinan sebelum ini lantang menegur antaranya tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Kita juga sayap yang pada awal dulu menyatakan pandangan mengambil Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri,” kata Haniza yang juga Adun Lembah Jaya.

1.40 pm: Malaysiakini membuat spekulasi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan bertanding jawatan naib presiden.

“Dia seorang menteri besar, jadi jawatan naib presiden sesuai (untuk ditandinginya),” kata sumber PKR, seperti dipetik Malaysiakini.

Pegawai Amirudin bagaimanapun enggan mengesahkan spekulasi itu sebaliknya berkata wakil rakyat DUN Sungai Tua itu akan mengumumkannya sendiri.

Pada pemilihan PKR penggal yang lepas, Amirudin bertanding jawatan ketua sayap Pemuda tetapi kalah kepada Nik Nazmi Nik Ahmad. Calon regunya ketika itu, Dr Afif Bahardin bagaimanapun menang dan menjadi timbalan kepada Nik Nazmi.

Dr Afif kali ini bertanding untuk jawatan ketua sayap Pemuda PKR.

1.30 pm: Yusmadi Yusoff menawarkan diri bertanding ahli MPP untuk menyegarkan budaya demokrasi sihat dalam parti, yang menjadi asas kekuatan PKR sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Yusmadi Yusoff menawarkan diri bertanding ahli MPP untuk menyegarkan budaya demokrasi sihat dalam parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

Katanya, beliau bimbang dan tidak selesa melihat amalan kurang sopan dan tidak wajar dalam menyatakan pandangan sejak kebelakangan ini, yang sekiranya tidak dibendung boleh merosakkan parti.

“Kita perlu menonjolkan budaya demokrasi sihat yang pernah ada ketika zaman reformasi kerana budaya itulah yang menjadikan parti ini berbeza berbanding parti-parti lain yang dapat menarik sokongan golongan muda terpelajar dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan insiden tidak sihat yang beliau maksudkan itu Yusmadi pernah menganggotai MPP pada penggal 2010-2013 sebagai ahli MPP dilantik.

13:20 pm: Bekas naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub menafikan beliau menyepi dari arus politik selepas tewas dalam pertandingan timbalan presiden pada 2010 dan tewas jawatan naib presiden 2014.

Katanya, beliau masih memberi sumbangan kepada parti terutamanya dalam kerajaan negeri Selangor dalam inisiatif peduli rakyat.

“Saya tidak diamanahkan untuk apa-apa jawatan sejak 2014. Jadi saya banyak membantu kerajaan Selangor terutama persoalan inisiatif peduli rakyat. Saya tidak menyepi sebenarnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menawarkan diri untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat kali, Mustafa berharap ahli parti akan turut mempertimbangkan sumbangan beliau sejak awal reformasi.

“Saya mohon untuk mereka pertimbangkan sumbangan saya selaku pencetus awal reformasi dan pejuang awal Keadilan sejak 1999 bermula dengan timbalan ketua Pemuda Pusat.”

12:55 pm: Azmin akan menyerahkan borang pencalonannya di ibu pejabat parti pada pukul 4 petang ini, kata satu makluman yang dikeluarkan oleh pejabat timbalan presiden PKR itu.

12:30 pm : Calon Timbalan Wanita, Rodziah Ismail mahu menggalas tugas bersama untuk memperkuatkan parti. 

“Kita harapkan gabungan yang terbaru. Kita akan bina parti bersama dan saya akan mengajak wanita supaya kembali memperkuatkan parti kita, dan peluang ini harus digunakan sebaik mungkin,” katanya.

12:28 pm: Membawa tema ‘Revolusi 107’, calon MPP, Lim Lai Seng dari Cabang Kuala Selangor hadir bersama 50 penyokong menghantar borang pencalonan.

Calon MPP, Lim Lai Seng dari Cabang Kuala Selangor hadir bersama 50 penyokong menghantar borang pencalonan. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

12:25 pm: Senarai pencalonan yang diterima setakat jam 12:00 tengahari:

Presiden

Anwar Ibrahim

Timbalan Presiden

Rafizi Ramli

Naib Presiden 

  • William Leong 
  • Michael Thamil

Sebanyak 7 borang pencalonan diterima untuk jawatan Exco Wanita PKR Pusat:

Ketua Wanita 
Fuziah Salleh

Timbalan Ketua Wanita 

  • Dr. Daroyah Alwi
  • Rodziah Ismail
  • Naib Wanita
  • Chrisnadia
  • Faezah
  • Chua Yee Ling
  • Wasanthee

Sebanyak 19 borang pencalonan diterima untuk jawatan Exco Pemuda Pusat:

Ketua Pemuda 

  • Akmal Nasir
  • Najwan Halimi

Timbalan Ketua Pemuda 

  • Naqiuddin Nazri
  • Raymond Ahmar
  • Naib Ketua Pemuda 
  • Thibali Subramaniam
  • Chua Wei Keat
  • Ahmad Syukri

12.20 pm: Calon Wanita PKR, Fuziah Salleh tidak kisah bertanding semula jawatan lama untuk kembalikan idealisme sayap itu.

 “Kita tidak perlu takut menegur pemimpin.

“Kita harus lantang bersuara di khalayak, bukan hanya jadi pak turut . Hari ini Wanita kurang ciri-ciri yang demikian. Saya  nak bina semula Wanita.,” katanya.

Calon Wanita PKR, Fuziah Salleh mahu kembalikan idealisme sayap Wanita.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

12.12 pm: Setiausaha JPP mengumumkan telah terima pencalonan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden. 

Hanya satu calon presiden PKR setakat ini, manakala dua calon naib antaranya William Leong dan 22 pencalonan MPP.

12.00 pm: Sementara itu, calon yang ditunggu-tunggu Mohamed Azmin Ali dijangka hanya akan menghantar wakil untuk menyerahkan borang pencalonannya Azmin pagi tadi memaklumkan melalui Twitter beliau ke Singapura hari ini.

11.50am: Calon timbalan presiden Rafizi Ramli berkata kempennya akan dimulakan di Johor Baru pada Jumaat.

Seterusnya beliau akan menjelajah ke Seremban pada Sabtu dan Melaka pada Ahad. Beliau selesai mengemukakan borang pencalonannya pagi ini.

11.40 am: Setiausaha JPP Ismail Yusop berkata setakat ini hanya satu pencalonan presiden PKR diterima.

11:35am: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaafar menawarkan diri untuk bertanding Majlis Pimpinan Pusat namun tidak mengesahkan jawatan itu secara spesifik.

11:25 am: Calon ketua Pemuda PKR, Najwan Halimi beranggapan saingan yang diterima oleh calon lain iaitu Dr Afif Bahardin dan Akmal Nasir adalah “friendly rivalry”.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, calon ketua Pemuda PKR Najwan berkata Mingguan Malaysia cuba melaga-lagakan pemimpin parti dengan menonjolkan saranan agar Azmin Ali berdebat dengan Anwar Ibrahim.

Adun Kota Anggerik itu berkata beliau hanya menyarankan agar calon untuk jawatan Pemuda, Wanita dan peringkat pusat PKR berdebat jika ada keperluan, tanpa mengkhususkan kepada Azmin dan Anwar.

“Saya tak pernah desak Azmin berdebat dengan Anwar. Jika ada keperluan (untuk berdebat), saya lihat tiada isu. Pimpinan PKR sememangnya terbuka dalam hal ini,” katanya.

Najwan yang bergandingan dengan timbalan ketua Pemuda Melaka, Naqiuddin Nazrin sebagai regu untuk menerajui sayap itu ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat PKR.

Calon ketua Pemuda PKR, Najwan Halimi berkata perebutan jawatan dengan dua calon lain adalah persaingan persahabatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

11.15am : Anwar Ibrahim hantar borang melalui wakil merebut jawatan presiden PKR. Pencadangnya Dr Wan Azizah Ismail dan disokong Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Zin.

11.15 am : Kamarudin Jaafar masih belum memutuskan sama ada akan bertanding Naib Presiden mahupun MPP. 

Beliau tidak melihat wujud kem dalam pemilihan dan berharap akar umbi akan memilih pemimpin yang mempunyai rekod yang baik sepanjang membangunkan parti.

11.05 am: Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ainie Haziqa mahu rebut jawatan exco wanita PKR sedang mendaftar di pejabat.

Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ainie Haziqa mendaftar bagi merebut jawatan exco wanita PKR. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

10.55 am: Setiausaha JPP Ismail Yusof berkata ramai keahlian baru mahu bertanding walaupun keahlian belum cukup setahun. Mereka sudah memohon kebenaran daripada presiden PKR.

10:50 am: Akmal Nasir dan Najwan Halimi hadir bersama menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan ketua Pemuda. Dr Afif Bahardin yang mengumumkan akan bertanding jawatan itu dijangka menghantar borang pencalonan 2:30 petang nanti.

10:35 am: Mohd Izat Hamirudin menghantar borang pencalonan untuk jawatan exco Pemuda Pusat, bersama pencadangnya.

Mohd Izat Hamirudin menunjukkan borang pencalonannya untuk jawatan exco Pemuda Pusat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

10:25 am: Ketua Sistem dan Data JPP Alvin Teoh menunjukkan bagaimana proses e-voting dilaksanakan dalam pemilihan parti kali ini.

10:10 am: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Rashid Din membuka dewan pencalonan dan memaklumkan pada hari ini hanya proses penyerahan borang pencalonan. Nombor calon bertanding akan diumumkan kemudian.

10.05 am : Taklimat ringkas daripada Setiausaha JPP Ismail Yusop di perkarangan Pejabat PKR, Petaling Jaya.

10.00am : Abdullah Sani individu pertama hantar borang pencalonan untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

9.50am : Suasana masih sunyi di perkarangan pejabat PKR. Kelihatan beberapa penyokong mula hadir untuk memberikan sokongan pada pimpinan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Siapa pun yang tercalon, rakyat hanya mahukan wakil rakyat berintegriti dan bukan sekadar pandai menaburkan pelbagai janji demi meraih sokongan dan populariti. Selain integriti, seorang calon atau wakil rakyat harus mempunyai komitmen, belas kasihan dan dedikasi dalam menyelesaikan masalah rakyat, selain berkredibiliti untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan rakyat.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan

  • Nampak nampaknya ada pemimpin baru yg gairah bertanding merebut Jawatan harus lah memberi pertimbangan yang sewajarnya dari sudut memahami pucak kemenangan PH. Jangan terlalu berlaga seperti democracy yang di amakkan itu tidak menyakit hati penyokong masing masing. Selagi belum ada bukti yang di perlihat kepada rakyat slogan reformise itu tidak dapat mempertahan lama. Ingat ingatlah jangan sampai balik amalan BN berulang.....

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Jacob Chang Sadang · Ulasan