CALON ketua Pemuda PKR, Najwan Halimi berkata Mingguan Malaysia cuba melaga-lagakan pemimpin parti dengan menonjolkan saranan agar Azmin Ali berdebat dengan Anwar Ibrahim.
Adun Kota Anggerik itu berkata beliau hanya menyarankan agar calon untuk jawatan Pemuda, Wanita dan peringkat pusat PKR berdebat jika ada keperluan, tanpa mengkhususkan kepada Azmin dan Anwar.
“Saya tak pernah desak Azmin berdebat dengan Anwar. Jika ada keperluan (untuk berdebat), saya lihat tiada isu. Pimpinan PKR sememangnya terbuka dalam hal ini.
“(Laporan Mingguan Malaysia ini) cubaan untuk melaga-lagakan pimpinan PKR,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Akhbar dikuasai Umno itu melaporkan, beliau mencadangkan demikian dalam satu kenyataan bersama dengan gandingannya, Naqiuddin Nazrin yang bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda.
Akhbar tersebut mendakwa mereka menyarankan demikian sekiranya kedua-dua pemimpin utama PKR itu mengesahkan untuk bertanding jawatan presiden parti dalam pemilihan.
Najwan yang juga bekas pegawai khas Anwar berkata beliau dalam kenyataan bersama itu semalam turut menyuarakan tekad untuk menyatukan Pemuda PKR dan mengetepikan penguasaan pemimpin kelompok dalam parti.
“Politik kekelompokan yang keras atau warlord wajar diketepikan selepas rakyat membuat keputusan berani menukar pemerintah pada 9 Mei lalu.
“Inilah cabaran utama Pemuda PKR untuk membantu pimpinan, terutamanya Anwar demi menjadikan PKR parti untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kita sudah belajar betapa intrik dan politik kekabilahan merupakan akar kepada persoalan perkauman yang menjadi jelaga hitam di ruang udara politik Malaysia lama,” katanya dalam kenyatan itu. – 5 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azizul azizi · Ulasan