Jamal Yunos insaf masuk penjara


Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos Jamal ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Majistret Ampang tidak membenarkan ikat jamin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018.

PENGALAMAN masuk penjara selama 27 hari sangat menginsafkan, kata pemimpin Umno kontroversi Jamal Md Yunos, yang bebas dengan ikat jamin awal minggu ini, lapor Sinar Harian.

Jamal yang mengadakan majlis doa kesyukuran di rumahnya berkata, beliau berterima kasih atas hukuman penjara itu kerana ia pengalaman yang sangat berharga.

“Apabila dibukakan saja pintu sel itu saya rasa macam masuk dalam kubur. Penjara itu ukurannya sedepa dan panjangnya dua depa setengah… di situlah bilik air, mandi dan tempat tidur,” katanya, seperti dipetik portal berita akhbar itu.

“Alhamdulillah saya dipenjarakan 27 hari, saya dapat keinsafan, pelajaran dan manfaat yang sangat berguna,” tambahnya.

Beliau mengaku kesempatan dalam penjara itu memberikannya kesedaran dan keinsafan yang meningkatkan azamnya untuk memperbaiki ilmu dan amalan agama, termasuk sembahyang dan membawa Al-Quran.

Jamal turut menyuarakan kekagumannya terhadap Anwar Ibrahim yang disifatkannya kuat semangat selepas bertahun-tahun ditahan dalam penjara.

Jamal ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Majistret Ampang tidak membenarkan ikat jamin ketika beliau dituduh lari daripada penangkapan yang sah pada 5 Julai lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan itu dikenakan ke atas ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu selepas beliau melarikan diri dari sebuah hospital di Ampang pada 25 Mei, ketika sedang diproses ikat jaminnya.

Dia dihadapkan ke mahkamah itu sebaik dibawa pulang dari Jakarta, Indonesia selepas ditahan oleh pihak polis republik itu tiga hari sebelumnya.

Walaupun tidak berada di tanah air dan tidak hadir ke mesyuarat Umno Bahagian Sungai Besar pada masa itu, Jamal mempertahankan jawatannya sebagai ketua bahagian itu.

Semasa dalam pelarian, Jamal mendakwa beliau melarikan diri kerana tertekan dengan tindakan pihak berkuasa terhadapnya yang katanya menjadikan dirinya mangsa.

Beliau melarikan diri dari hospital itu beberapa jam selepas dituduh bersabit tindakannya memecahkan botol minuman keras di luar Bangunan SUK Selangor di Shah Alam tahun lalu, yang menempatkan pejabat Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, ketika itu. Jamal tidak mengaku bersalah.

Beliau juga berdepan beberapa siasatan polis yang lain, termasuk dakwaan melibatkan senjata api. – 3 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen