Anwar-Azmin gandingan mantap terajui PKR, kata pemimpin negeri


Mohd Farhan Darwis

PEMILIHAN PKR mesti mengangkat gandingan Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sebagai presiden dan timbalan presiden untuk meneruskan agenda reformasi yang menjadi perjuangan parti, kata pemimpin parti peringkat negeri dan akar umbi.

Mereka menyifatkan regu dua individu itu sudah teruji sepanjang 20 tahun perjuangan reformasi adalah yang terbaik untuk PKR mengharungi landskap politik Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Ahli Biro Politik PKR Kedah, Azman Nasrudin berkata, Anwar juga seharusnya menasihati mereka yang cuba mencabar Azmin memikirkan semula tindakan mereka dan tidak memberikan alasan yang direka demi memenuhi kepuasan dua tiga kerat pimpinan dalam dan luar parti.

“Beliau seharusnya menasihati mereka yang ingin mencabar Azmin melihat kepentingan parti dan negara di masa hadapan,” kata Azman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas dan Exco Negeri Kedah.

“Banyak kerja dan perkara baru yang perlu dilakar untuk kesejahteraan rakyat yang memerlukan fokus dan penumpuan lebih kepada rakyat, dari membuang masa mententeramkan parti yang luka, berdarah, calar balar, dan berpecah belah akibat pertandingan yang tidak sihat.

“Buktinya awal-awal lagi sudah ada fitnah dan tuduhan kepada Azmin sehari dua ini yang direka untuk menjatuhkan kredibiliti dan wibawa beliau,” katanya, dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden memperkenalkan barisan pasukannya yang digambarkan akan menyelamatkan parti kerana berpegang teguh pada semangat reformasi.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak Dr Muhd Nur Manuty berkata, landskap politik semasa menuntut parti itu mempunyai kepimpinan yang kuat dan wibawa untuk menjadi tulang belakang kepada Pakatan Harapan.

“Gandingan ini (Anwar-Azmin) diyakini adalah yang terbaik dan terkuat untuk menerajui PKR di era Malaysia Baru,” katanya, mengumumkan dukungan majlis pimpinan PKR Perak untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Muhd Nur yang juga senator di Dewan Negara berkata, selain aspek kesetiaan, kedudukan Azmin sebagai menteri kanan dalam Kabinet juga mampu membantu PKR dalam menerajui era Malaysia Baru.

“Kedudukan beliau sebagai menteri kanan dalam Kabinet Persekutuan juga menjadi kekuatan PKR untuk merealisasikan pelaksanaan agenda reformasi dan perubahan,” tambahnya.

Selain Perak, Pulau Pinang turut menyatakan sokong kepada Anwar dan Azmin.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang Dr Mansor Othman berkata, PKR bukan sekadar akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman tapi juga cabaran luaran yang memerlukan pemimpin yang berpengalaman, mempunyai rekod prestasi kepimpinan yang cemerlang dan kesetiaan kepada perjuangan.

Katanya, ketiga-tiga ciri itu ada pada gandingan Anwar dan Azmin.

“Sinergi dua orang tokoh ini telah terbukti berjaya membawa agenda reformasi dan merupakan gandingan terbaik untuk memimpin Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Roland Chia berkata, Azmin memiliki semua ciri-ciri kepimpinan untuk menerajui PKR sebagai sebuah parti masa depan, dan bakat serta potensi kepimpinan seperti ini tidak harus disia-siakan. 

Beliau yang juga ketua cabang Sepanggar, Sabah turut menyeru seluruh kepimpinan PKR “menggembeleng muafakat” untuk mengangkat gandingan Anwar dan Azmin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden, yang diharap akan berjaya menerajui PKR sebagai sebuah parti politik terulung di Malaysia. – 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • mmg ni satu gandingan yg hebat sbb azmin sendiri ada rekod yg sgt baik dalam membangunkan dan mentadbir selangor.. anwar juga tak dapat dinafikan merupakan seorang yg sgt berwibawa dalam kepimpinan beliau.. kedua-dua ni mampu untuk meningkatkan kekuatan parti

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan