Najib nafi kerap ke China jumpa Jho Low


Melati A. Jalil

Najib Razak hari ini menafikan laporan media mendakwa beliau kerap ke China berjumpa Jho Low. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan laporan media mendakwa beliau kerap pergi ke China untuk berjumpa ahli perniagaan Low Taek Jho- atau Jho Low.

“Tak,” jawab Najib ringkas kepada soalan wartawan bertanyakan sama ada beliau ada pergi ke China untuk berjumpa Low di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini, akhbar kewangan berpengaruh Wall Street Journal menerbitkan laporan memetik sumber seorang bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri yang enggan dinamakan, mendakwa Najib bertemu Low pada Mei 2017.

“Pada Mei 2017, Low bertemu Najib di sebuah forum Belt and Road (Initiative, BRI) di Beijing untuk membincangkan projek infrastruktur melibatkan China.  

“Pegawai itu berkata Najib kerap pergi ke China pada masa itu untuk berjumpa Low, yang tidak memegang apa-apa jawatan rasmi kerajaan,” lapor akhbar itu.

Jho Low dipercayai banyak pihak adalah orang kepercayaan dan penasihat Najib.

Waran tangkap sudah dikeluarkan pihak berkuasa Malaysia ke atas Low berkaitan siasatan dana pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Kehakiman Negara (DoJ) AS menuduh Low sebagai dalang utama skandal 1MDB yang dianggap skandal kewangan terbesar dunia pernah berlaku.

Walaupun Low tidak memegang jawatan rasmi dalam 1MDB, beliau dikatakan penerima manfaat terbesar skandal seleweng dana harta negara itu yang digunakan untuk membeli pelbagai aset mewah termasuklah kapal layar, lukisan dan barangan kemas.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah guna kedudukannya sebagai pegawai kerajaan menerima habuan RM42 juta, dengan memberikan jaminan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Malaysia (KWAP) kepada SRC International.

Bekas perdana menteri yang tersingkir selepas Barisan Nasional hilang kuasa pasca pilihan raya 9 Mei itu juga berdepan tiga pertuduhan pecah amanah kerana menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC International.

SRC International adalah anak syarikat 1MDB- dana pelaburan digagaskan Najib- sebelum diserap bersama-sama hutangnya oleh Kementerian Kewangan. – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen